Selami keluh-kesah penduduk hadap bau babi puluhan tahun

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai isu penternakan babi di Selangor yang kembali mencetuskan perdebatan hangat sehingga menerima teguran tegas daripada Sultan Selangor.

ISU penternakan babi di Selangor kembali mencetuskan perdebatan hangat apabila kerajaan Selangor melalui Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim pada Khamis lalu mengumumkan perancangan memindahkan industri penternakan babi ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor, dijangka mula beroperasi pada 2030.

Izham berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai langkah jangka masa panjang bagi menangani isu pencemaran, wabak penyakit dan menjaga keharmonian masyarakat di kawasan penternakan sedia ada di Kampung Ladang Tumbuk Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Iklan
Iklan

Tidak lama kemudian, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi hantaran di Facebook menzahirkan kekecewaan yang amat mendalam berhubung perkara tersebut.

Baginda menegaskan, perancangan tersebut dipandang serius, khususnya apabila terdapat kemungkinan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar.

Iklan

Tidak cuma itu, titah yang paling menjadi perbualan ramai adalah apabila Sultan Sharafuddin mengusulkan supaya wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat.

Ia bagi membolehkan wakil rakyat merasai sendiri pengalaman sebenar yang dialami penduduk setempat.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad di sekitar Tanjung Sepat merungkai permasalahan dihadapi penduduk yang mana mereka mendakwa menghidu bau busuk daripada najis babi sudah lebih 20 tahun, namun masih tiada perubahan dari sudut tindakan penguatkuasaan.

Ada yang mengadu kutipan hasil laut kian merosot, parit kotor, malah persisir pantai juga semakin terhakis.

Majoritinya berpendapat bahawa teguran Sultan Sharafuddin cukup tegas dan baik untuk diberi perhatian serta pertimbangan semula.

Justeru, cadangan sedemikian patut diambil kira sekali lagi dengan menyelami keluh-kesah penduduk setempat dan aduan orang awam, selain mementingkan pelan perancangan jangka panjang sedia ada itu.

Hari ini, Izham dijadual menghadap Sultan Sharafuddin bagi menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu tular tersebut.