Durian bukit jatuh harga: FAMA Perak sedia bantu pasar hasil pengusaha

Iklan
FAMA Perak turun padang bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi pemasaran durian bukit di Kampung Batu 6, Jalan Pahang, Tapah susulan pendedahan kejatuhan harga serendah RM1 sekilogram. Foto: FAMA Perak

TAPAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak menyatakan kesediaan untuk membantu pengusaha tempatan durian bukit di Kampung Batu 6, Jalan Pahang di sini susulan pendedahan kejatuhan harga serendah RM1 sekilogram.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad, FAMA memaklumkan, pihaknya telah turun padang bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi pemasaran durian di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, hasil perbincangan mendapati seramai 20 pengumpul dan pekebun terlibat dengan purata pengumpulan sekitar empat metrik tan sehari, membabitkan durian yang kebanyakannya terdiri daripada gred C (70 peratus) dan gred B (30 peratus) yang lazim dikenali sebagai buah hujung.

"Durian di kawasan itu dikenali sebagai Durian Bukit Jalan Pahang, Tapah dengan musim pengeluaran dijangka berakhir pada penghujung Januari 2026.

Iklan

"Harga RM1 sekilogram yang dilaporkan hanya melibatkan durian gred C, manakala harga durian gred A masih berada pada paras RM8 hingga RM11 sekilogram, selaras dengan keadaan pasaran semasa," jelas kenyataan tersebut.

FAMA Perak turun padang bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi pemasaran durian bukit di Kampung Batu 6, Jalan Pahang, Tapah susulan pendedahan kejatuhan harga serendah RM1 sekilogram. Foto: FAMA Perak

Iklan

Dalam lawatan diketuai Timbalan Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA Perak, Mohd Salleh Saidin itu turut mendapati, pengusaha di kawasan tersebut tidak memasarkan durian kepada FAMA, sebaliknya telah mempunyai peraih sedia ada.

Tambah kenyataan itu, peraih sedia ada mengambil keseluruhan hasil durian di kawasan berkenaan, menyebabkan FAMA tidak terlibat dalam pembelian durian bagi musim pengeluaran kali ini.

"Namun begitu, FAMA Negeri Perak sentiasa bersedia untuk berbincang dan bertindak sebagai pemudah cara sekiranya pekebun atau peraih berdepan masalah pemasaran pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

FAMA Perak menegaskan pendekatan tersebut selaras dengan komitmen agensi berkenaan untuk memastikan kebajikan pekebun terus terpelihara serta kestabilan pasaran durian tempatan dapat dikekalkan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, pendapatan penduduk Orang Asli di sekitar Jalan Pahang dari Batu 3 hingga Batu 25 susut lebih 60 peratus susulan kejatuhan mendadak harga durian bukit pada musim ini.

Durian gred B dilapor hanya dijual pada harga sekitar RM2 sekilogram manakala gred C pula RM1 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding harga sebelum ini iaitu antara RM10 hingga RM12 sekilogram.

Sebelum ini ada pengusaha yang mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 hingga RM40,000 setiap musim hasil penjualan durian bukit tersebut.