KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah dua perkhidmatan baharu Shuttle Timuran (SH) bagi laluan Gemas–Kuala Lipis bermula 1 Januari lalu, menjadikan keseluruhan enam perkhidmatan sehari di laluan berkenaan khusus untuk pengguna di Pantai Timur.
Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd Azhar Abu Bakar berkata, penambahan itu adalah hasil penilaian berterusan terhadap keperluan penumpang di laluan tersebut khususnya membabitkan pelajar dan komuniti setempat.
Menurut beliau, penyelarasan jadual perkhidmatan di Lipis turut mengambil kira waktu persekolahan serta corak perjalanan harian penduduk bagi memastikan perkhidmatan rel lebih praktikal dan mesra pengguna.
“KTMB sentiasa menilai keperluan penumpang di laluan Pantai Timur termasuk penyesuaian jadual supaya selari dengan keperluan komuniti setempat.
“Sehubungan itu, bermula awal tahun ini, perkhidmatan Shuttle Timuran laluan Gemas–Kuala Lipis ditambah dua perkhidmatan baharu, menjadikan enam perkhidmatan sehari,” katanya ketika ditemui pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026 di sini pada Ahad.
Hadir sama pada program berkenaan ialah Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi, Sadun Abdullah dan Pengurus Wilayah Timur, Basri Abu Bakar.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut memberi peluang kepada pengguna Pantai Timur untuk membuat perjalanan ke arah selatan, termasuk merasai pengalaman menaiki ETS3 melalui transit di Stesen Gemas.
Menurut Mohd Azhar, penyusunan jadual yang lebih teratur membolehkan pelajar dan penduduk merancang perjalanan dengan lebih baik sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di kawasan terbabit.
Mengulas prestasi penumpang, beliau berkata, bagi tahun 2025, perkhidmatan Shuttle Timuran merekodkan seramai 395,163 penumpang, manakala Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mencatatkan 666,121 penumpang.
“Untuk tahun 2026, KTMB menyasarkan peningkatan jumlah penumpang Shuttle Timuran kepada 687,214 orang selari dengan penambahbaikan perkhidmatan serta keperluan mobiliti komuniti setempat.
“Bagi perkhidmatan ERT pula, sasaran jumlah penumpang tahun ini adalah seramai 368,875 orang, sejajar dengan penyusunan semula perkhidmatan dan keperluan operasi semasa,” katanya.