TAPAH – Pendapatan penduduk Orang Asli di sekitar Jalan Pahang dari Batu 3 hingga Batu 25 terjejas teruk susulan kejatuhan mendadak harga durian bukit pada musim ini, dengan harga jualan serendah RM1 hingga RM2 sekilogram.
Tok Batin Kampung Batu 6 Jalan Pahang, Fadzil Arom berkata, harga durian tahun ini disifatkan paling buruk berbanding musim-musim sebelumnya walaupun hasil durian agak memberangsangkan.
Menurutnya, durian gred B kini hanya dijual pada harga sekitar RM2 sekilogram manakala gred C pula RM1 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding harga sebelum ini.
"Dulu harga durian bukit ini pernah mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram dan paling rendah pun sekitar RM3 sekilo itu pun kami masih boleh bersyukur.
"Tapi tahun ini memang terlalu teruk walaupun hasil durian ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 6, di sini pada Sabtu.
Fadzil berkata, kejatuhan harga itu menyebabkan pendapatan pengusaha durian di kampung tersebut susut lebih 60 peratus berbanding kebiasaan.
Menurutnya, sebelum ini ada pengusaha yang mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 hingga RM40,000 setiap musim.
Katanya, bagi musim ini pendapatan mereka makin merosot dan sukar untuk mendapat sekurang-kurangnya RM20,000 disebabkan harga terlalu murah.
Beliau berkata, hampir keseluruhan penduduk kampung terlibat dalam penanaman durian melibatkan kira-kira 196 ketua isi rumah yang bergantung kepada hasil durian sebagai sumber pendapatan bermusim.
Jelasnya, kebanyakan penduduk kampung menjual hasil durian bukit terus kepada peraih kerana kaedah itu paling mudah dan cepat.
Mengulas punca harga rendah, Fadzil menjelaskan ia antaranya disebabkan lambakan hasil selain kurangnya pengetahuan pengguna mengenai keistimewaan durian bukit yang sering disamakan dengan durian kampung biasa.
"Durian bukit ni rasa dia lengkap, ada pahit, manis, pekat dan likat. Simpan dua tiga hari pun isi dia tak berair dan masih elok.
"Ia juga tak muak walaupun dimakan banyak, tak sama dengan durian premium," jelasnya.
Beliau turut mengakui kemasukan durian import dari Thailand menjadi antara faktor yang menekan harga durian tempatan setiap kali musim durian di Malaysia.
"Kalau boleh, import durian dikurangkan semasa musim durian tempatan supaya hasil durian dalam negara tidak menjadi lambakan," katanya.
Sehubungan itu, Fadzil berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat membantu melalui penjenamaan khusus durian bukit bagi menstabilkan harga di pasaran.