Krisis Venezuela duluan berbahaya

Iklan
Maduro ditahan dalam serangan Amerika Syarikat di Caracas pada 3 Januari dan dihadapkan ke mahkamah di New York tiga hari kemudian. Gambar kecil: Salawati

PENAHANAN dan pendakwaan terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat (AS) susulan operasi ketenteraan khas di Caracas pada 3 Januari lalu mencetuskan gelombang kebimbangan dalam hubungan antarabangsa.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan operasi itu sebagai antara tindakan ketenteraan paling dramatik dalam sejarah moden negaranya dan mempertahankannya atas alasan penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan nasional.

Iklan
Iklan

Namun jika dilihat dalam konteks lebih besar, tindakan tersebut bukan sekadar konflik dua hala antara Washington dan Caracas tetapi menandakan satu titik genting yang berpotensi menggugat asas undang-undang antarabangsa yang dibina sejak tamat Perang Dunia Kedua.

Apabila prinsip kedaulatan negara, kekebalan ketua negara dan larangan penggunaan kekerasan diketepikan, dunia berisiko kembali ke era di mana kuasa ketenteraan mengatasi hukum dan norma global.

Iklan

Reaksi antarabangsa menunjukkan kebimbangan yang meluas. China menyifatkan tindakan AS sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan menuntut usaha menumbangkan kerajaan Venezuela dihentikan segera, manakala Korea Utara menyifatkannya sebagai pencerobohan serius terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat.

Di Asia Tenggara, suara kebimbangan turut dizahirkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Maduro perlu dibebaskan segera dan rakyat Venezuela berhak menentukan hala tuju politik mereka sendiri tanpa campur tangan luar.

Iklan

Walau apa pun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memegang jawatan melalui campur tangan luar mewujudkan satu duluan berbahaya.

Tindakan sedemikian menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan kerangka undang-undang yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa.

Bagaimanapun, Washington kekal mempertahankan tindakannya. Pentadbiran AS berhujah bahawa pendakwaan ke atas Maduro dibuat atas dasar penguatkuasaan undang-undang domestik, khususnya berkaitan tuduhan jenayah rentas sempadan seperti pengedaran dadah dan ancaman terhadap keselamatan nasional.

AS turut merujuk kepada prinsip bidang kuasa luar wilayah atau extraterritorial jurisdiction serta doktrin keselamatan sebagai justifikasi bahawa tindakan tersebut sah demi melindungi kepentingan nasionalnya.

Hujah ini, walaupun pernah digunakan dalam beberapa kes lampau, terus dipertikaikan kerana ia dilaksanakan tanpa mandat jelas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Ketiadaan mandat tersebut menimbulkan persoalan besar tentang legitimasi tindakan AS dan kesannya terhadap sistem undang-undang antarabangsa yang berasaskan multilateralisme.

Menurut Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir, tindakan Amerika Syarikat menggunakan operasi ketenteraan khas di Caracas merupakan pencabulan nyata terhadap kedaulatan wilayah Venezuela dan bercanggah secara langsung dengan Perkara 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Piagam tersebut jelasnya, melarang mana-mana negara daripada mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik sesebuah negara kecuali dalam dua keadaan sahaja iaitu mempertahankan diri atau dengan kebenaran Majlis Keselamatan PBB.

“Dalam kes ini, operasi ketenteraan AS dilaksanakan tanpa sebarang mandat UNSC,” katanya.

Menurut beliau, ketiadaan mandat itu menjadikan tindakan berkenaan bukan sahaja tidak sah dari sudut undang-undang antarabangsa, malah berbahaya kerana membuka ruang kepada pelanggaran norma yang lebih luas pada masa hadapan.

Salawati turut menegaskan bahawa penahanan Maduro melanggar prinsip Immunity Ratione Personae atau kekebalan ketua negara.

“Di bawah undang-undang antarabangsa, seorang ketua negara yang sedang memegang jawatan mempunyai kekebalan mutlak daripada bidang kuasa jenayah negara asing termasuk kebal daripada penahanan dan pendakwaan di mahkamah negara lain,” jelasnya.

Beliau menambah, kekebalan tersebut hanya boleh diketepikan dalam keadaan tertentu.

“Keadaan tertentu itu seperti pendakwaan di mahkamah antarabangsa atau selepas tamat tempoh jawatan, tetapi bukan melalui tindakan unilateral sebuah negara asing,” ujarnya.

Menurut Salawati, tindakan sedemikian turut membawa implikasi jangka panjang terhadap sistem antarabangsa.

“Apabila sebuah kuasa besar menggunakan alasan penguatkuasaan undang-undang untuk melaksanakan bidang kuasa secara luar wilayah, ia membuka ruang kepada negara kuasa besar lain untuk bertindak dengan justifikasi sama.

“Keadaan ini berisiko mencetuskan ketidaktentuan global yang lebih besar dan mewujudkan landskap antarabangsa yang didominasi hukum rimba, di mana kuasa menentukan kebenaran,” tambahnya.

Beliau menegaskan kesan paling besar akhirnya ditanggung oleh negara kecil.

Negara-negara ini katanya, bergantung kepada undang-undang antarabangsa sebagai perisai utama dalam hubungan global dan apabila perisai tersebut ditembusi, keselamatan politik, ekonomi dan diplomasi mereka menjadi semakin rapuh.

Apabila kekuatan tentera dijadikan penentu keadilan dan undang-undang hanya terpakai kepada yang lemah, dunia kini berdepan persoalan asas: adakah tertib antarabangsa masih berfungsi atau kita sedang melangkah masuk ke era baharu di mana kuasa menentukan kebenaran?