Selangor desak program ‘Glamping With Pride’ dibatalkan - Mohd Najwan

Iklan
Mohd Najwan (kanan) menyaksikan perlawanan Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling pada Sabtu.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mendesak penganjur membatalkan program ‘Glamping With Pride’ didakwa dianjurkan sebuah kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, hujung minggu depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, penganjuran program itu jelas tidak selari dengan norma masyarakat dan nilai agama yang diamalkan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Mereka (penganjur) sepatutnya tak payah buatlah, jika (masih berdegil) buatlah aktiviti perkhemahan, atau riadah, jangan sebar perkara mengarut seperti ini kerana di Malaysia tidak mengiktiraf LGBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling di sini pada Sabtu.

Iklan

Mohd Najwan menegaskan, kerajaan negeri juga sudah berhubung dengan pihak polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung perkara itu, selain mengambil maklum kenyataan tegas dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang umat Islam daripada menyertai program berkenaan.

"MAIS juga sudah menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur penyebaran LGBT atau apa-apa yang bercanggah dengan norma masyarakat,” katanya.

Iklan

Mohd Najwan turut mengingatkan masyarakat khususnya umat Islam di Selangor supaya mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan larangan terlibat dalam sebarang aktiviti atau budaya LGBT kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai masyarakat.

"Ini bukan sekadar isu agama Islam sahaja, malah agama lain juga tidak bersetuju dengan budaya dan nilai yang cuba disebarkan ini. LGBT bukan budaya rakyat Malaysia dan bukan budaya orang Timur," tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tegas mempertahankan institusi kekeluargaan dan kesucian perkahwinan, selain menyifatkan sebarang cubaan mempromosikan gaya hidup songsang itu sebagai satu bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

"Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu sensitiviti masyarakat dan mencetuskan ketidaktenteraman,” katanya.

Mengulas isu kelulusan program, Mohd Najwan berkata, siasatan perlu dijalankan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau elemen promosi nilai LGBT yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Walaupun permohonan mungkin dibuat mengikut prosedur, namun jika terbukti wujud unsur mempromosikan nilai LGBT, pihak berkuasa perlu bertindak segera termasuk menilai semula pemberian lesen," tambahnya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak mahu penyebaran ideologi itu memberi kesan buruk kepada generasi muda termasuk risiko keruntuhan institusi keluarga serta penularan masalah sosial.

"Kita di Selangor tegas menolak sebarang bentuk penyebaran dan promosi elemen LGBT tanpa mengira kaum atau agama," ujar beliau.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, penganjur program ‘Glamping With Pride’ tetap meneruskan program itu minggu depan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Program itu dianjurkan sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Sebelum ini, pihak berkuasa telah digesa untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasi ideologi gender.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang.

Dalam pada itu, MAIS turut menggesa individu terjebak dengan gaya hidup LGBT supaya kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan disediakan pihak berkuasa agama itu dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

MAIS akan terus bekerjasa rapat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak berkuasa dan agensi kerajaan bagi menawarkan pemulihan berkaitan.