Bekas ADUN Banting, Fatimah Suhaimi meninggal dunia

Iklan
Mohd Izani menaburkan bunga mawar di pusara ibunya, Datin Fatimah yang juga bekas ADUN Banting di Masjid Jamiatul Islamiah Batu 9, Kampung Medan, pada Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Datin Fatimah Suhaimi, 84, meninggal dunia pada 4 pagi Rabu di sebuah hospital swasta akibat sakit tua.

Perkara itu disahkan anak ketiga Allahyarham, Mohd Zyad Jaafar, 42, ketika dihubungi Bernama.

Iklan
Iklan

Mohd Zyad berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak Rabu lepas selepas kesihatannya merosot selain ibunya sebelum ini juga mengalami masalah jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

"Jenazah kini di rumah keluarga di Kampung Medan, Telok Panglima Garang dan akan dibawa ke Masjid Jamiul Islamiah untuk disempurnakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Medan sebelum zuhur,” katanya.

Iklan

Allahyarham meninggalkan empat anak, iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan serta empat cucu.

Fatimah merupakan ADUN Banting di bawah Parlimen Kuala Langat selama tiga penggal sejak 1982 dan pernah diiktiraf sebagai Tokoh Wanita Selangor.

Iklan

Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam UMNO termasuk Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat.

Sementara itu, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Medan, Kuala Langat pada 12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu jenazah Fatimah atau nama sebenarnya Siti Fatimah Dullah Sukimi dimandikan dan dikafankan di Masjid Jamiatul Islamiah disusuli solat jenazah yang diimamkan anak bongsunya Mohd Izani Jaafar, 38.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib antara yang hadir menziarahi Allahyarham. - Bernama