Siapa saja pimpinan Pas layak memimpin PN

Iklan
Menerajui PN adalah keputusan yang dipersetujui secara sebulat suara dalam Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Alor Setar. - Gambar kecil (Dr Mukhtaruddin)

PANDANGAN berhubung kepimpinan Pas dalam memimpin Perikatan Nasional (PN) masih lagi terbuka. Pendapat yang mengatakan Pas perlu sekadar menjadi frontliner dan Bersatu dikekalkan sebagai 'poster boy' perlu dinilai semula.

Suatu penilaian yang secara jujur dan berpaksikan fakta, sejarah parti serta realiti politik semasa kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan mandat tertinggi Pas, malah memperlihatkan salah faham yang berpanjangan terhadap Konsep Kepimpinan Ulama dan proses sebenar pembuatan keputusan dalam Pas.

Iklan
Iklan

Perlu ditegaskan menerajui PN adalah keputusan yang dipersetujui secara sebulat suara dalam Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Alor Setar. Ini adalah keputusan tertinggi parti yang diputuskan oleh para perwakilan daripada seluruh negara.

Sebarang hujah yang cuba menurunkan Pas kepada peranan “frontliner” tanpa kuasa sebenar adalah bertentangan dengan mandat muktamar dan semangat syura dalam parti.

Iklan

Dakwaan bahawa PN memerlukan figura Bersatu sebagai penyeimbang sentimen bukan Melayu juga tidak lagi sejajar dengan realiti politik. Hakikat yang sukar dinafikan ialah pengurusan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan yang tidak aktif.

Difahamkan mesyuarat PN yang agak lama tidak diadakan bukti nyata bahawa struktur pengurusan gabungan telah kehilangan daya fungsi. Ia boleh menjadikan PN lemah dari sudut penyelarasan, strategi dan kejelasan kepimpinan jika ia berterusan.

Iklan

Lebih penting, perkembangan semasa menunjukkan bahawa Barisan Nasional dan parti-parti Melayu lain lebih selesa berunding dengan Pas berbanding Bersatu, khususnya dalam kerangka penyatuan politik Melayu-Islam. Realiti ini menjadikan hujah bahawa Bersatu masih diperlukan sebagai “penenang” politik semakin tidak berasas.

Selain itu, kekeliruan besar yang wujud berkenaan Pas memimpin PN ialah Pengerusi PN dari Pas mestilah seorang ulama secara individu dan seterusnya bakal Perdana Menteri juga mesti daripada kalangan ulama. Tafsiran ini tidak tepat dari sudut sejarah dan perlembagaan Pas.

Sejak Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-29 pada tahun 1983, Konsep Kepimpinan Ulama telah diinstitusikan melalui penubuhan Majlis Syura Ulama. Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan Pas yang dibentangkan ketika itu dengan jelas menyatakan bahawa peranan ulama adalah sebagai pemandu, pembimbing dan penentu dasar syariah manakala golongan bukan ulama tetap diberi ruang luas sebagai pimpinan pelaksana dalam parti.

Malah, Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan Pas yang dikemukakan di dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-29 pada 30 April dan 1 Mei 1983 bagi membutirkan konsep kepimpinan ulama’ ini menegaskan: “Peranan memandu perjuangan supaya sentiasa berada di jalan Allah dapat dimainkan oleh para ulama yang mengetahui masalah dan hukum-hukum syariat. Oleh itu merekalah yang selayaknya mengambil tempat sebagai pembimbing yang menghurai dan menjelaskan kehendak-kehendak syariat. Inilah peranan penting yang akan dimainkan oleh ulama dalam Majlis Syura Ulama.”

Tambah Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan Pas itu lagi: ”Peranan penting ini tidak pula menafikan hak anggota-anggota yang terdiri daripada bukan ulama’ yang mempunyai kebolehan untuk tampil ke hadapan sebagai pimpinan di peringkat perlaksanaan di berbagai-bagai peringkat organisasi parti... Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (adalah) badan pelaksana yang tertinggi.”

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Presiden Pas ketika itu, Yusof Rawa, yang menyatakan dalam ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-29 pada 30 April dan 1 Mei 1983 bahawa penyusunan kepimpinan baharu Pas bukan bertujuan “menghambat golongan bukan ulama’” sebaliknya untuk “menempatkan tenaga berbagai-bagai golongan dan tahap kebolehan dalam parti di tempat yang wajar.”

Pandangan tersebut kemudiannya diperkukuhkan oleh Presiden Pas berikutnya, Datuk Fadzil Mohd Noor, yang menjelaskan pada Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 1995 bahawa ulama tidak ditakrifkan melalui pakaian atau latar pendidikan awal semata-mata. Menurut beliau, “bukanlah suatu yang mustahil Pas akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi kemudiannya berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman serta mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.” Kenyataan ini secara langsung menafikan dakwaan bahawa pencalonan tokoh profesional bercanggah dengan prinsip politik Pas.

Mantan Mursyid Am Pas, Datuk Dr Haron Din, dalam kertas kerja “Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Kali Ke-50: Kepimpinan Ulama di Era Cabaran Baru” pada 19 Disember 2004 turut menjelaskan: “Apakah dasar kepimpinan ulama itu merujuk kepada batang tubuh individu ulama yang memimpin atau kepada konsepnya? Konsep kepimpinan ulama telah diinstitusikan menjadi Majlis Syura Ulama seperti terkanun di dalam Perlembagaan Pas. Peruntukan-peruntukan yang sedia ada meletakkan Majlis Syura Ulama (bukan individu) sebagai pemegang kuasa tertinggi di dalam Pas selain daripada muktamar tahunannya... Kepimpinan ulama adalah suatu gagasan kepimpinan yang merujuk kepada institusi ulama yang menduduki Majlis Syura Ulama sebagai ahli al-hal wal-aqd (orang yang mampu menyelesaikan masalah dan mengawalnya) untuk zaman ini.”

Semua kenyataan ini dengan jelas menolak dakwaan bahawa Pas hanya boleh dipimpin oleh ulama’ semata-mata atau calon Perdana Menteri Pas wajib dari kalangan ulama.

Maka bertitik tolak dari konsep ini, maka siapa pun pemimpin Pas adalah terbuka dan layak memimpin PN malah layak memimpin Pas sekalipun. Hujah bahawa hanya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja yang layak menjadi Pengerusi PN daripada Pas juga tidak berpijak pada realiti proses dalaman parti.

Sama ada Abdul Hadi yang memimpin atas sifat beliau sebagai Presiden Pas mahupun Tuan Ibrahim, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Sanusi yang disebut-sebut, adalah calon-calon yang layak.

Maka dakwaan hanya golongan tertentu yang boleh memimpin adalah tidak berasas sama sekali kerana kepimpinan ulama sudah jelas diterima.

Dalam isu sokongan bukan Melayu dan sentimen Islamofobia beberapa hujah yang agak “bimbang” jika Pas memimpin PN agak tersasar. Hakikat politik pilihan raya menunjukkan bahawa undi bukan Melayu majoritinya tidak menyokong PN tanpa mengira siapa yang memimpin.

Oleh itu, fokus sebenar PN bagi PRU16 ialah mengukuhkan undi Melayu manakala sokongan bukan Melayu boleh diperolehi melalui kepimpinan sederhana tokoh seperti yang disebutkan sebelum ini, selain boleh diusahakan oleh setiap parti komponen dan melalui parti-parti yang mesra PN, bukannya dengan mengorbankan teras perjuangan.

Saya membaca amaran keras Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, yang mengkritik sikap tunduk kepada Islamofobia dengan menyatakan: “Kita mengalah dengan Islamofobia dah kenapa? Sibuk sangat nak kejar undi bukan Islam, akhirnya Melayu pula tinggalkan PN. Masih tak faham ke mindset bukan Islam sekarang??? Nampaknya kejar undi Cina dan India dari nak pertahan sokongan pengundi Melayu. Cubalah buat, kami tolak!!!”

Analisis penganalisis politik bebas, Shahbudin Husin, pada 7 Januari lalu juga menegaskan bahawa Pas adalah parti paling stabil untuk menerajui PN. Menurut beliau: ”Realitinya, Pas adalah paling sesuai dan tepat untuk menerajui PN kerana ia parti yang stabil dan tidak berkecamuk seperti Bersatu yang kebelakangan ini suka memecat pemimpinnya sendiri. Bagaimana parti yang berwajah sebegitu mahu diberi mandat menerajui semula PN setelahMuhyiddin sendiri secara sukarela meletak jawatan?”

Malah Shahbudin turut menyatakan memuji salah seorang pemimpin Pas, Dr Ahmad Samsuri, sebagai pemimpin muda berpendidikan tinggi dan berwajah profesional, dan menyifatkan beliau merupakan calon paling sesuai untuk memberi keyakinan kepada pengundi serta menampilkan wajah segar PN menjelang PRU akan datang.

Ujar beliau: ”Pemimpin muda seperti Ahmad Samsuri yang berwajah manis, sedang menerajui kerajaan negeri dan berpendidikan tinggi, adalah calon paling sesuai untuk menerajui PN bagi menjangkau kemenangan dalam PRU akan datang. Dengan Ahmad Samsuri ditampilkan menerajui PN, ia dapat menyerlahkan wajah segar dan memberi keyakinan yang lebih baik lagi kepada pengundi dan tiada lagi isu-isu sampingan menjadi gangguan.”

Kesimpulannya, semua pihak berhak mengemukakan pandangan masing-masing. Namun, siapa yang layak menerajui PN daripada Pas bukan ditentukan oleh pandangan individu, sebaliknya melalui keputusan kolektif parti dan mandat muktamar.

Sekiranya Pas telah membuat keputusan melalui saluran sah dan berinstitusi, maka semua pihak wajar menghormatinya. Yang utama Pas perlu memimpin demi kestabilan PN. Berilah waktu dan ruang kepada kepimpinan Pas untuk membuktikan kemampuan mereka.

*** Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa