Maritim Pulau Pinang tahan kapal layar warga British, vesel nelayan

Iklan
Tiga nelayan warga Thailand dan 2 pelayar warga British ditahan dalam tempoh seminggu hasil pemantauan dan rondaan berterusan di perairan negeri ini.

GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merekodkan dua tangkapan berasingan dalam tempoh seminggu hasil pemantauan dan rondaan berterusan di perairan negeri ini.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 6.45 petang Khamis, sebuah kapal layar yang disyaki bersauh tanpa kebenaran telah ditahan selepas maklumat risikan diterima oleh Maritim Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pemeriksaan mendapati kapal layar tersebut mengibarkan bendera United Kingdom dan dikendalikan oleh dua warga British berusia 48 dan 67 tahun, dengan salah seorang daripadanya merupakan nakhoda.

“Kapal layar itu disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Oleh demikian, mereka telah melakukan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau menambah, dalam kejadian berasingan, Maritim Pulau Pinang turut menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan oleh tiga warga Thailand berusia antara 41 hingga 58 tahun pada 4 Januari lalu.

“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan menjalankan aktiviti perikanan dalam jarak kurang daripada 15 batu nautika, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Iklan

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen vesel nelayan tempatan kelas C,” ujarnya.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas seorang nelayan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua nelayan dan vesel yang terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim, khususnya berkaitan aktiviti perikanan, demi melindungi keselamatan perairan serta kelestarian sumber marin negara,” katanya.