X

Kindly register in order to view this article
!

Berang gagal perkosa anak tiri punca suspek campak cucu

Seorang kanak-kanak empat tahun maut selepas dicampak dari tingkat tiga kediamannya di Pangsapuri Villa Danau, Setapak Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Berang selepas tindakan cuba memperkosa anak tiri dihalang isterinya dipercayai motif seorang lelaki Nigeria tergamak mencampak cucu tirinya dari tingkat tiga Pangsapuri Villa Danau, Setapak, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, 4, ditemui maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati suspek sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, selain pasangan suami isteri itu, enam ahli keluarga yang terdiri daripada empat anak wanita berkenaan (anak tiri suspek), seorang anak lelaki pasangan terbabit serta mangsa tinggal bersama di rumah tersebut.

"Siasatan lanjut mendapati punca kejadian dipercayai suspek yang cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya dengar orang menjerit minta tolong'

"Bagaimanapun, tindakan suspek itu telah dihalang isteri serta anak-anak yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek telah mengamuk dan memukul kesemua mangsa di dalam rumah tersebut sebelum isteri dan anak-anak cuba menyelamatkan diri dengan bertindak keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan jiran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Suspek turut terjun dari tingkap tingkat tiga unit pangsapuri berkenaan selepas mencampak cucu tirinya.
Suspek turut terjun dari tingkap tingkat tiga unit pangsapuri berkenaan selepas mencampak cucu tirinya.

Beliau berkata, ketika itu, suspek melihat mangsa menjerit meminta bantuan sebelum dia bertindak mencampak kanak-kanak itu dari tingkap bilik utama sebelum turut bertindak terjun dari tingkap yang sama.

Katanya, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suspek yang cedera akibat kejadian itu gagal melarikan diri dan berjaya ditangkap orang awam dan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.