Jari terkehel, pengorbanan Yates bantu Forest mara

Iklan
Yates menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan di jari kelengkengnya.

PEMAIN tengah Nottingham Forest, Ryan Yates berdepan detik cemas apabila mengalami kecederaan jari yang mengerikan pada minit awal perlawanan Liga Europa menentang kelab Turkiye, Fenerbahce.

Pemain berusia 28 tahun itu pastinya mengharapkan aksi yang lebih tenang memandangkan Forest hanya perlu mempertahankan kelebihan tiga gol selepas mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama di Turkiye minggu lalu.

Iklan
Iklan

Namun, apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan.

Perlawanan tersebut terlebih dahulu terganggu apabila suar dibaling ke dalam padang, sekali gus memaksa pengadil menghentikan permainan seketika.

Iklan

Keadaan menjadi lebih dramatik sebaik sahaja permainan disambung semula. Yates yang mendarat dalam posisi janggal selepas terjatuh, mengalami kecederaan yang cukup mengerikan.

Jari kelengkengnya dilihat bengkok pada sudut yang menakutkan, dipercayai terkehel memaksa kapten pasukan itu segera memberi isyarat memanggil pasukan perubatan.

Iklan

Dia jelas menahan kesakitan yang amat sangat dan cuba sedaya upaya untuk tidak melihat ke arah jarinya yang patah itu.

Bagaimanapun, apa yang luar biasa adalah Yates tidak digantikan akibat kecederaan tersebut.

Sebaliknya, dia segera ke tepi padang untuk mendapatkan rawatan dan membalut jarinya yang patah, sebelum kembali meneruskan aksi bersama rakan sepasukan.

Namun, kecekalan Yates teruji apabila dia terpaksa menyaksikan gawang Forest dibolosi buat kali pertama dalam perlawanan itu.

Pemain sayap Fenerbahce, Kerem Akturkoglu berjaya meledak gol menewaskan bekas penjaga gol Manchester City, Stefan Ortega, untuk merapatkan kedudukan agregat kepada 3-1.

Akturkoglu sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyempurnakan sepakan penalti sejurus selepas rehat separuh masa, sekali gus membuatkan penyokong Forest mula tidak senang duduk.

Mujur Callum Hudson-Odoi tampil sebagai penyelamat, dengan jaringannya pada minit ke-68 berjaya meredakan ketegangan dan mengesahkan kemenangan agregat 4-2 buat anak-anak buah Vitor Pereira.