PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu terus kekal fokus kepada persiapan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac walaupun masih menunggu keputusan rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari turut menyeru penyokong bola sepak tanah air agar kekal tenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan tumpuan pasukan kebangsaan.
Menurutnya, sebarang keputusan yang diumumkan kelak diharap dapat memberi penjelasan serta membantu memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
“Kita sedang menunggu keputusan CAS dan harap ia adalah yang terbaik. Apa juga dapatan yang dibuat, fokus FAM terhadap bola sepak itu sendiri tidak boleh lari.
“Kita akan menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam pada 31 Mac ini, Jadi saya harap apa juga keputusan, itu tidak akan memberikan kesan,” katanya pada sidang akhbar selepas Jelajah Rakan Muda @ Program Sahur Rakan Muda di Alor Setar pada awal pagi Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berkaitan keputusan CAS yang dijangka diumumkan pada minggu depan.
Jelas Dr Mohammed Taufiq, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan melangkaui garis pemisah yang sedia ada.
“Kita ada garis pemisah antara kementerian dan persatuan sukan. Apabila sudah keluar keputusan CAS, barulah KBS akan melihat apa yang boleh dibuat selepas ini, KBS tidak boleh campur tangan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaubagaimanapun, sokongan berterusan amat penting memandangkan bola sepak merupakan antara sukan paling diminati rakyat Malaysia dan memainkan peranan besar dalam menyatukan masyarakat.
Beliau memberitahu, apa jua keputusan kelak tidak seharusnya mengalih perhatian daripada matlamat utama iaitu memastikan pembangunan bola sepak negara terus berjalan dan prestasi pasukan kebangsaan berada pada tahap terbaik.
“Kita harap rakyat Malaysia terus teguh mendukung dan menyokong bola sepak negara. Jangan buat spekulasi terlalu awal sehingga mengganggu fokus semua pihak,” katanya.
Mengulas mengenai Jelajah Rakan Muda @ Program Sahur Rakan Muda pula, Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, Program berkenaan menghimpunkan anak-anak muda daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan belia di Kedah.
Golongan belia menyertai konvoi bermotor ke beberapa lokasi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, balai bomba dan Hospital Sultanah Bahiyah bagi mengagihkan makanan sahur kepada anggota bertugas.