SUNGAI PETANI – Tindakan seorang warga emas membuat laporan terhadap cucunya sendiri yang terbabit penyalahgunaan dadah disifatkan sebagai langkah berani dan bertanggungjawab demi keselamatan serta masa depan ahli keluarga itu.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, tindakan datuk berusia 75 tahun berkenaan membuktikan kasih sayang sebenar apabila sanggup mengetepikan perasaan demi menyelamatkan cucunya daripada terus terjerumus dalam masalah lebih serius.
“Ini menunjukkan datuk ini sayangkan cucunya. Tindakan sebegini boleh menyelamatkan cucu daripada menjadi lebih teruk dan membuka ruang kepada pihak berkaitan untuk membantu proses pemulihan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat melawat kediaman warga emas itu di Kampung Sungai Pial, Bedong, Tanjung Dawai di sini pada petang Khamis.
Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Baginda bertitah, tindakan melaporkan perkara salah dari segi agama dan moral bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, malah tanggungjawab setiap anggota masyarakat.
“Jangan simpan dan jangan takut untuk membuat laporan jika perkara itu salah. Jika ada keluarga lain yang berdepan situasi sama, contohilah tindakan datuk ini dengan melaporkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya tindakan susulan dapat diambil,” titah baginda lagi.
Tengku Sarafudin Badlishah turut bertitah bahawa individu yang terlibat dengan dadah tidak seharusnya terus dihukum atau dipandang serong sebaliknya perlu dibantu agar mereka dapat menjalani rawatan dan pemulihan yang sewajarnya.
Menurut baginda, keluarga yang berdepan masalah sama perlu segera mendapatkan khidmat berkuasa bagi membantu ahli keluarga terlibat dengan masalah dadah dapat dibantu segera.
“Boleh hubungi polis atau AADK untuk membantu, bukan untuk menjatuhkan tetapi supaya mereka dapat dipulihkan,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, cucu kepada warga emas berkenaan pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini iaitu pada tahun 2020, 2023 dan 2024 atas kesalahan berkaitan dadah.
Menurutnya, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan sekali lagi malam Rabu selepas datuknya membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya dan isteri.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis sedang dalam proses permohonan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39C akta sama,” katanya.
Beliau berkata, suspek didapati mengambil dadah jenis syabu dan heroin sehingga mengalami halusinasi, sekali gus mendorong datuknya mengambil tindakan segera demi keselamatan keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan seorang datuk terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa kerana tidak sanggup melihat cucunya terus terjebak dengan penyalahgunaan dadah, meskipun terpaksa berdepan dilema emosi yang berat.