SALAH satu dimensi pengurusan perniagaan ialah pengurusan pematuhan undang-undang dan peraturan.
Setiap perniagaan, tanpa mengira saiz, perlu berhadapan dengan pelbagai undang-undang yang melibatkan mereka serta industri yang diceburi.
Tahap kemampuan perniagaan untuk memastikan pematuhan terhadap kesemua peraturan ini adalah berbeza-beza. Bagi perniagaan besar yang mempunyai sumber mencukupi, mereka boleh memanfaatkan sumber tersebut untuk mengambil ahli pasukan, membangunkan sistem dan proses, serta mendapatkan khidmat nasihat pakar bagi memastikan mereka menjadi warga perniagaan yang patuh undang-undang.
Sebaliknya, bagi perniagaan dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mereka mungkin tidak sedar akan kewujudan pelbagai undang-undang dan peraturan yang terpakai ke atas mereka.
Keadaan ini bukan sahaja berpunca daripada keterbatasan sumber, malah usahawan PMKS juga mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk mengetahui dan memahami sepenuhnya keperluan pematuhan yang perlu dipenuhi.
Sebagai contoh, cukai pendapatan perniagaan. Cabarannya bukan sekadar memastikan pendapatan bercukai dikira dengan tepat, tetapi keseluruhan proses pematuhan cukai itu sendiri bukanlah sesuatu yang mudah untuk difahami.
Proses ini bermula dengan anggaran cukai, diikuti bayaran secara ansuran. Sekiranya anggaran tersebut terlebih atau terkurang, terdapat tempoh tertentu yang membolehkan pembetulan dibuat.
Kesemua keperluan ini berpotensi mengundang penalti cukai sekiranya gagal dipatuhi oleh usahawan PMKS.
Bagi menjadikan sistem kutipan cukai kerajaan lebih efisien, perniagaan perlu disokong oleh sistem tertentu yang membolehkan mereka mematuhi undang-undang cukai, termasuk cukai tidak langsung.
Jika sebelum ini pematuhan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memerlukan penggunaan sistem tertentu, pembatalan GST tidak bermakna PMKS terlepas daripada keperluan tersebut.
Pelaksanaan peraturan invois elektronik (e-invois) menghendaki perniagaan menggunakan sistem yang disambungkan terus kepada sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Ini merupakan keperluan tambahan yang meningkatkan kos perniagaan, walaupun ia tidak semestinya memberikan nilai tambah kepada perniagaan berkenaan, khususnya yang telah mempunyai sistem perakaunan elektronik sendiri.
Bagi memperkukuhkan ekonomi negara, Malaysia memerlukan lebih ramai usahawan dalam pasaran. Namun, satu realiti yang tidak dapat dinafikan ialah tidak semua perniagaan yang ditubuhkan akan berjaya, memandangkan dunia perniagaan sememangnya sarat dengan pelbagai risiko.
Apa yang dibimbangkan ialah penambahan pelbagai undang-undang dan peraturan baharu, walaupun mempunyai objektif yang jelas, berpotensi meningkatkan tahap risiko terhadap perniagaan, khususnya PMKS.
Golongan usahawan ini bukan sahaja perlu berhadapan dengan risiko perniagaan yang sedia ada, malah turut dibebani keperluan pematuhan yang kompleks serta melibatkan kos yang tinggi.
Kita tidak mahu wujud situasi di mana untuk berniaga pisang goreng sekalipun memerlukan sijil khusus. Bukan sijil menggoreng pisang yang dimaksudkan, tetapi sijil bagi memastikan usahawan sedar dan memahami syarat pihak berkuasa tempatan serta pelbagai undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh agensi kerajaan.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila usahawan yang layak disijilkan akhirnya membuat keputusan untuk melupakan hasrat berniaga.
Risiko kegagalan mematuhi undang-undang mungkin dilihat lebih menakutkan berbanding risiko pisang goreng tidak terjual.
Kos pematuhan pula tidak terhad kepada aspek kewangan semata-mata. Ia turut melibatkan tekanan emosi dan kecekalan mental.
Persoalannya, adakah daya keusahawanan akan terhakis akibat keperluan pematuhan, walaupun ia bertujuan baik untuk negara?
Sememangnya terdapat usaha kerajaan melalui pelbagai agensi bagi memudahkan PMKS menjalankan perniagaan, termasuk pemberian pengecualian dan kemudahan tertentu.
Namun, apa yang lebih diperlukan ialah usaha yang bersepadu. Ini kerana walaupun beban pematuhan kelihatan kecil dari sudut pandang sesebuah agensi atau kementerian, apabila dikumpulkan satu demi satu melalui kaca mata usahawan, ia berpotensi menjadi beban yang menggunung tinggi.