MELAKA - Polis menahan enam lelaki tempatan susulan kekecohan berlaku di kawasan Melaka Raya pada awal pagi Khamis yang membawa kepada rampasan sepucuk pistol disyaki tiruan daripada salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit bagaimanapun menafikan dakwaan berlaku kejadian tembakan seperti tular di media sosial.
Pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian merusuh dan dakwaan tembakan di kawasan tersebut sekitar jam 4 pagi pada hari sama.
“Bertindak atas laporan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka berjaya menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan kejadian berpunca daripada provokasi dan salah faham melibatkan empat individu sehingga mendapat perhatian daripada orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga berlaku rusuhan,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, seramai 12 orang saksi telah dirakam percakapan dan mengesahkan bahawa tiada sebarang bunyi letupan senjata didengari semasa kejadian.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis menyangkal dakwaan berlaku tembakan dan penemuan dua kelongsong peluru seperti tular di media sosial,” ujar beliau.
Beliau berkata, kes masih di peringkat siasatan dan meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.