PORT DICKSON - Polis menahan seorang lagi suspek pergaduhan menggunakan senjata disyaki parang di Jalan Pekan Lukut, di sini pada 27 Disember lepas, menjadikan jumlah yang ditahan 10 lelaki.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 8.05 malam dan kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
Iklan
Iklan
"Hasil semakan mendapati tujuh daripada suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka akan didakwa esok di Mahkamah Seremban dan Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, enam individu akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 326, 427 dan 323 manakala empat lagi dijadikan saksi.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan sembilan lelaki disyaki terlibat dengan kes pergaduhan di Lukut dalam tempoh 24 jam selepas kejadian. - Bernama