KUANTAN – Projek Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling dan pembinaan jambatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gusai di Mukim Ulu Tembeling kini mencatatkan kemajuan mendahului jadual asal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, perkembangan itu dapat dilihat hasil daripada lawatan tapak dan sesi taklimat projek pada Rabu bagi meninjau status semasa projek terbabit.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan oleh sebuah syarikat dengan kos keseluruhan berjumlah RM156,211,697.10 dan bermula pada 3 Ogos 2022 dengan tempoh asal kontrak selama 36 bulan.
“Susulan kelulusan lanjutan masa, tarikh siap terkini projek ditetapkan pada 10 April depan.
“Kita mendapati projek sedang berjalan dan tidak terbengkalai dengan kemajuan fizikal yang positif,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Haris memaklumkan beberapa isu telah dikenal pasti sepanjang pelaksanaan projek, terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan penduduk kampung akibat kehadiran jentera berat serta penyelenggaraan sementara laluan sedia ada.
Selain itu, katanya, proses pengambilan tanah dan pembayaran pampasan kepada penduduk terlibat juga perlu diteliti untuk mempercepatkan penyelesaian mengikut peraturan sedia ada.
Beliau menambah pihaknya sudah mengambil maklum aduan dan kenyataan awam yang dibangkitkan oleh sebahagian penduduk.
“Hasil penelitian mendapati terdapat fakta tidak tepat mengenai jajaran sebenar projek, khususnya melibatkan Fasa 2A hingga 2D yang merangkumi Jalan Kuala Sat sepanjang 4.2 kilometer (km), Kampung Bantal Seberang ke Kampung Mat Daling hingga Tanah Pindah (12.2 km), sambungan Pakej 2 ke Kampung Mat Daling (4.2 km) dan Kampung Bantal ke Gusai (6.8 km).
“Untuk penjelasan, projek ini melibatkan pembinaan laluan baharu dan tidak menggunakan jalan balak sedia ada sebagai jajaran projek,” jelasnya.
Dalam pada itu, Haris berkata, pihak berkuasa mengambil maklum rungutan penduduk mengenai keadaan jalan ladang yang masih digunakan untuk pergerakan harian ke Kampung Gusai, terutama di kawasan kritikal seperti Paya Poh, Bukit Buluh dan Bukit Kubur.
Menurutnya, hasil perbincangan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menumpukan penyelenggaraan berkala serta langkah mitigasi sementara di lokasi kritikal bagi keselamatan penduduk dan kelancaran pergerakan harian sehingga projek utama siap sepenuhnya.
“Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana komited untuk memastikan projek berimpak tinggi ini dilaksanakan secara teratur, berfasa dan mematuhi semua keperluan teknikal serta perundangan.
“Pemantauan berterusan akan diteruskan sehingga projek ini disiapkan sepenuhnya,” katanya.