Denmark akan 'tembak' jika AS ceroboh Greenland

Iklan
Tentera Denmark bersedia menghadapi tentangan daripada serangan AS. -Agensi

COPENHAGEN – Denmark memberi amaran akan bertindak balas secara ketenteraan sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan pencerobohan ke atas Greenland, meskipun Presiden AS, Donald Trump berikrar untuk terus mempertahankan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurut doktrin ketenteraan Denmark yang telah berkuat kuasa sejak 1952, pasukan keselamatan negara itu diwajibkan bertindak serta-merta terhadap sebarang serangan tanpa menunggu arahan lanjut, termasuk membuka tembakan bagi mempertahankan kedaulatan wilayah.

Iklan
Iklan

Pengesahan itu dibuat susulan kenyataan Trump yang enggan menolak penggunaan kekuatan ketenteraan dalam usaha menguasai Greenland, sebuah wilayah autonomi Denmark yang kaya dengan sumber mineral dan mempunyai kepentingan strategik di Artik.

Trump sebelum ini menyifatkan penguasaan Greenland sebagai keutamaan keselamatan nasional AS, terutama bagi mengekang pengaruh Rusia dan China di rantau tersebut.

Iklan

Kenyataan berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah yang melihat sebarang tindakan ketenteraan AS ke atas Greenland berpotensi meruntuhkan NATO, memandangkan kedua-dua negara adalah ahli pakatan itu.

Di media sosial Truth Social, Trump menegaskan bahawa AS akan 'sentiasa bersama NATO', namun menyindir beberapa negara anggota yang didakwa gagal memenuhi komitmen perbelanjaan ketenteraan sebelum ini.

Iklan

Sementara itu, pemimpin Eropah dilaporkan giat berusaha meredakan ketegangan dengan Perancis dan Jerman menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi geopolitik sekiranya konflik tercetus.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot memaklumkan bahawa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberi jaminan bahawa Washington tidak merancang serangan ketenteraan ke atas Greenland buat masa ini.

Greenland yang terletak di laluan strategik Artik dan menempatkan pangkalan ketenteraan AS, kini menjadi tumpuan geopolitik global di tengah-tengah persaingan kuasa besar dunia.- Agensi