Revolusi robotik

Iklan
Evan Yao dari EngineAI bergambar bersama robot humanoid EngineAI T800 semasa Pameran Elektronik Pengguna (CES) tahunan di Las Vegas, Nevada.

KETUA Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang pada Selasa menyifatkan robot sebagai “pendatang AI”, dengan berhujah bahawa teknologi itu mampu menyelesaikan kekurangan tenaga kerja global yang sedang menjejaskan sektor pembuatan.

Menjawab kebimbangan bahawa mesin akan menggantikan pekerja manusia, pemimpin syarikat cip AI terbesar dunia itu mengambil pendirian bertentangan.

Iklan
Iklan

“Kehadiran robot akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan,” kata Huang kepada 200 wartawan dan penganalisis dalam satu sesi selama 90 minit di sebuah hotel di Las Vegas, di luar acara pameran teknologi CES.

“Kita perlukan lebih ramai pendatang AI untuk membantu di lantai pembuatan dan melakukan kerja-kerja yang mungkin kita sendiri sudah tidak mahu lakukan lagi,” kata Huang yang kenyataan spontan beliau sudah menjadi tradisi popular di CES.

Iklan

Perhimpunan itu berlangsung sehingga Jumaat, dengan kira-kira 130,000 pengunjung.

Seperti setiap tahun, robot menjadi antara tarikan utama di CES, apabila syarikat-syarikat berharap teknologi ini dapat menembusi arus perdana sebagai peranti yang benar-benar berguna, bukan sekadar gimik.

Iklan

Huang berhujah bahawa satu “revolusi robotik” mampu mengimbangi kehilangan tenaga kerja akibat populasi yang semakin menua dan penurunan demografi, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Apabila ekonomi berkembang, kita akan mengambil lebih ramai pekerja,” katanya, sambil mengenakan jaket kulit hitam ikonik beliau.

Huang, yang menerajui syarikat paling bernilai di dunia dengan anggaran nilai sekitar AS$3.5 trilion, menganggarkan kekurangan tenaga kerja mencecah “puluhan juta” orang, bukan sekadar ribuan, susulan perubahan demografi.

Kenyataan beliau selari dengan pandangan pemimpin lain di Silicon Valley, khususnya Elon Musk dari Tesla dan SpaceX, yang kerap menyebut penyusutan populasi dan penuaan tenaga kerja sebagai sebab utama untuk menerima automasi.

Nvidia kini melabur secara besar-besaran dalam pembangunan perisian asas yang membolehkan robot beroperasi merentasi pelbagai industri, termasuk pembuatan, peruncitan dan penjagaan kesihatan. - AFP