RINGGIT kekal stabil berbanding dolar AS yang kukuh, ditutup hampir tidak berubah daripada paras semalam, didorong oleh daya tahan ekonomi positif seperti dicerminkan dalam data Indeks Pelopor (IP).
Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 3.8900/8955 berbanding dolar AS, lebih tinggi sedikit daripada 3.8915/8980 ketika ditutup pada Selasa.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan untuk suku kedua 2026, disokong oleh prestasi IP pada Disember 2025, mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 0.1 peratus kepada 114.0 mata daripada 113.9 mata dalam tempoh sama tahun lepas.
IP itu memberikan petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan hala tuju ekonomi dalam jangka pendek.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Keyakinan Pengguna (CCI) Lembaga Persidangan AS meningkat kepada 91.20 mata pada Februari daripada 89.0 mata pada bulan sebelumnya.
Beliau memberitahu Bernama bahawa data dari AS menunjukkan keyakinan pengguna masih lemah dengan peningkatan kos sara hidup menjadi kebimbangan utama berdasarkan kepada maklum balas dalam kaji selidik dilakukan.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4848/4885 daripada 2.4968/5011 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding euro kepada 4.5855/5920 daripada 4.5873/5950 dan turun berbanding pound British kepada 5.2585/2659 daripada 5.2531/2619 sebelumnya.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0736/0782 daripada 3.0726/0780 ketika ditutup semalam, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 231.5/231.9 daripada 231.2/231.7 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 6.76/6.78 daripada 6.74/6.75 sebelum itu.
Bagaimanapun, ringgit melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.5121/5374 daripada 12.5463/5726 pada penutupan semalam. - Bernama