SD Guthrie Berhad (Guthrie) mencatat keuntungan bersih tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025 (FY2025), peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun sebelumnya (FY2024).
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q FY2025), Guthrie merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM496 juta.
Prestasi kukuh ini dipacu hasil sumbangan yang lebih baik daripada segmen Huluan-nya serta Pembangunan Perindustrian yang merupakan segmen perniagaan baharu Guthrie.
Perniagaan Huluan Guthrie menyumbang RM3.6 bilion kepada keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT), disokong peningkatan prestasi memberangsangkan dalam semua faktor-faktor operasi utama segmen tersebut.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, prestasi kukuh Guthrie pada tahun 2025 memperlihatkan peningkatan berterusan perniagaan teras Huluan serta potensi menarik bagi segmen pembangunan perindustrian baharunya.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi kami dalam meneruskan prestasi mampan untuk tahun 2026 di mana pelbagai portfolio perniagaan Guthrie akan terus berkembang.
“Prestasi kumpulan ini juga mencerminkan tumpuan berterusan terhadap pelaksanaan strategi secara berdisiplin oleh pihak pengurusan dan warga kerja kami yang komited,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, prestasi cemerlang pada tahun kewangan 2025 membuktikan dedikasi seluruh warga kerja dalam memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi serta penerokaan peluang pertumbuhan sambil menapak ke dalam bidang pertumbuhan strategik yang baharu.
“Menuju ke hadapan, usaha untuk memperkemas dan mengintegrasikan rantaian nilai kami ke dalam model operasi yang lebih bersepadu akan meningkatkan sinergi, menambah baik kecekapan, serta meletakkan Guthrie pada kedudukan yang lebih kukuh untuk berkembang dengan lebih berkesan.
“Ini akan menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan pertumbuhan perniagaan baharu di samping mengekalkan momentum operasi perniagaan teras kami,” katanya.
Dalam pada itu, pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat 1 peratus dari tahun ke tahun (YoY), manakala harga purata direalisasikan bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) masing-masing meningkat 4 peratus dan 33 peratus YoY kepada RM4,254 dan RM3,219 bagi setiap tan metrik.
Segmen Pembangunan Perindustrian pula menyumbang RM430 juta kepada PBIT FY2025, hasil keuntungan jualan tanah kepada syarikat usahasama tiga pihak.
Bagi FY2025, segmen Hiliran iaitu SD Guthrie International (SDGI), mencatat PBIT sebanyak RM484 juta selepas melalui tahun yang mencabar berikutan penurunan permintaan produk yang menjejaskan prestasi globalnya.
Walau bagaimanapun, prestasi lebih baik yang dicapai oleh operasi produk terbeza SDGI di rantau Asia Pasifik, telah menghasilkan keuntungan lebih tinggi yang mengimbangi sebahagian daripada impak penurunan jumlah jualan.
Bagi prospek FY2026, harga MSM dijangka stabil dalam tempoh terdekat dengan faktor struktur yang menyokong kestabilan pasaran.
Walaupun paras inventori yang tinggi dan penangguhan mandat biodiesel B50 Indonesia mungkin memberi sedikit tekanan, pertumbuhan bekalan yang lebih perlahan serta permintaan global yang stabil terhadap minyak sayuran dijangka terus mengimbangi harga MSM.
Daya saing harga minyak sawit dijangka kekal kukuh berikutan aktiviti penambahan stok bermusim di pasaran utama seperti India, Timur Tengah dan China.
Segmen Huluan akan terus memperkukuhkan inisiatif kecemerlangan operasi bagi meningkatkan kualiti dan jumlah keseluruhan hasil minyak manakala segmen Hiliran pula akan terus memberi tumpuan dalam memanfaatkan rantaian bekalan bersepadu untuk memastikan operasi yang anjal dan responsif kepada permintaan pelanggan.
Kumpulan juga akan terus membina aliran pendapatan mampan dengan membina kerjasama strategik dalam segmen Pembangunan Perindustrian serta Tenaga Boleh Diperbaharui.
Tertakluk kepada keadaan luar jangka, Guthrie menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi FY2026.
Guthrie turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 10.35 sen sesaham. Dengan dividen interim sebanyak 7.75 sen sesaham, jumlah keseluruhan dividen seperingkat bagi FY2025 adalah sebanyak 18.10 sen sesaham (FY2024: 16.36 sen sesaham).
Ini merupakan peningkatan jumlah dividen sebanyak 1.74 sen sesaham berbanding FY2024.