Taikun China ditahan kes scam kripto berbilion dolar

Iklan
Gambar pada tahun lalu menunjukkan peralatan komputer semasa satu serbuan ke atas sebuah pusat penipuan siber di Phnom Penh. Foto: Agensi

PHNOM PENH - Taikun kelahiran China, Chen Zhi yang didakwa oleh Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan penipuan dan pengubahan wang haram kerana mengendalikan rangkaian penipuan siber bernilai berbilion dolar dari Kemboja, telah ditahan di negara itu dan diekstradisi ke China.

Menurut pendakwa raya AS, Chen didakwa mengarahkan operasi kompleks buruh paksa di seluruh Kemboja, di mana pekerja yang diperdagangkan ditahan di kemudahan seperti penjara yang dikelilingi tembok tinggi dan dawai berduri.

Iklan
Iklan

Sejak pendakwaan oleh AS serta sekatan oleh Washington dan London pada Oktober lalu, pihak berkuasa di Eropah, AS dan Asia telah menyasarkan syarikat Chen, Prince Holding Group dengan rampasan aset secara besar-besaran.

Chen mengasaskan Prince Group, sebuah konglomerat multinasional yang menurut pihak berkuasa berfungsi sebagai pelindung kepada 'salah satu pertubuhan jenayah rentas negara terbesar di Asia', menurut Jabatan Kehakiman AS.

Iklan

"Pihak berkuasa Kemboja telah menahan tiga warga China iaitu Chen Zhi, Xu Ji Liang dan Shao Ji Hui serta mengekstradisi mereka ke Republik Rakyat China,” kata Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, operasi tersebut dijalankan pada Selasa dalam skop kerjasama memerangi jenayah rentas negara dan berdasarkan permintaan pihak berkuasa China selepas beberapa bulan kerjasama siasatan bersama.

Iklan

Kata kementerian itu, kewarganegaraan Kemboja Chen telah ditarik balik melalui Dekri Dirajapada Disember.

Pihak berkuasa China tidak memberikan sebarang komen segera mengenai penahanan dan ekstradisi Chen.

Jabatan Kehakiman AS juga enggan mengulas pada Rabu.

Pada Oktober, pihak berkuasa AS mendedahkan satu pertuduhan terhadap Chen, seorang ahli perniagaan yang dituduh mengetuai kompleks di Kemboja di mana pekerja yang diperdagangkan menjalankan skim penipuan mata wang kripto yang telah mengaut keuntungan berbilion dolar.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun jika disabitkan kesalahan di AS atas pertuduhan penipuan wayar dan konspirasi pengubahan wang haram melibatkan kira-kira 127,271 bitcoin yang dirampas oleh Washington, bernilai lebih AS$11 bilion pada harga semasa.

Prince Group menafikan semua dakwaan tersebut.

Menurut pertuduhan AS, pekerja penipuan dipaksa di bawah ancaman keganasan untuk melaksanakan skim penipuan yang dikenali sebagai “pig butchering”, iaitu skim pelaburan kripto yang membina kepercayaan mangsa secara berperingkat sebelum mencuri dana mereka.

Skim ini menyasarkan mangsa di seluruh dunia dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.

Pusat penipuan di seluruh Kemboja, Myanmar dan rantau ini menggunakan iklan pekerjaan palsu untuk menarik warga asing kebanyakannya warga China ke kompleks yang dibina khas, di mana mereka dipaksa menjalankan penipuan dalam talian.

Sejak 2015, Prince Group beroperasi di lebih 30 negara dengan berselindung di sebalik perniagaan sah seperti hartanah, perkhidmatan kewangan dan perniagaan pengguna, menurut pendakwa raya AS.

Chen dan eksekutif tertinggi didakwa menggunakan pengaruh politik serta merasuah pegawai di beberapa negara bagi melindungi operasi haram mereka.

Di Kemboja, Chen pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Hun Manet dan bapanya, bekas pemimpin Hun Sen.

Menurut pakar, negara Asia Tenggara itu menempatkan puluhan pusat penipuan dengan puluhan ribu individu menjalankan penipuan dalam talian dan ada secara sukarela serta ada yang diperdagangkan dalam industri bernilai berbilion dolar. - AFP