'Hilang' sesaat nyawa melayang

Iklan
'Microsleep' bukan sahaja membahayakan nyawa anda bahkan penumpang yang bersama anda dan juga pengguna jalan raya lain. Foto hiasan

PENDEDAHAN Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai sindrom tertidur seketika semasa memandu atau 'microsleep' menjadi antara penyumbang utama kepada statistik kemalangan jalan raya di negara ini seharusnya membuka mata kita semua.

Ini kerana, ia membabitkan nyawa pengguna jalan raya terutamanya ketika trafik padat dan keadaan jalan raya yang sibuk semasa musim perayaan.

Iklan
Iklan

Dalam tempoh itu, kita sering lupa mengenai sistem badan kita yang mempunyai had tertentu dan memerlukan rehat yang cukup.

Ringkasnya 'microsleep' berlaku akibat keletihan dan kelesuan selain dipengaruhi jam biologi tubuh khususnya ketika musim perayaan yang melibatkan perjalanan jauh, tempoh pemanduan terlalu lama serta perubahan corak pemanduan.

Iklan

Tidak lama lagi, musim perayaan akan tiba di mana rata-rata daripada kita yang memandu akan mengambil masa secara purata sekurang-kurangnya enam jam untuk sampai ke kampung halaman.

Di sinilah perlunya kita mengetahui kemampuan badan, disiplin dan fokus dalam pemanduan agar tidak 'lentok' semasa memandu.

Iklan

Kebiasaannya musibah akan terjadi ketika kita menggagahkan diri untuk meneruskan pemanduan walaupun sudah menguap berkali-kali.

Usah paksa diri teruskan pemanduan atau berkejar masa untuk tiba ke destinasi. Fahami bahasa tubuh badan anda yang sebenarnya memerlukan rehat.

Sebelum ini kementerian berkaitan juga telah tampil dengan pelbagai iklan untuk menyedarkan pengguna jalan raya akan fokus pemanduan dan berhenti rehat.

Namun, pokok pangkalnya adalah sikap kita dalam memahami keperluan untuk kekal segar sepanjang memandu selain tahu bahawa 'microsleep' boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja.

Justeru, ubahlah rutin biasa dengan mengekalkan kesihatan dan sedar akan bahaya terlelap ketika memandu. Kalau mengantuk jangan teruskan pemanduan, sebaliknya segera berhenti rehat dahulu.

Sesaat 'microsleep' boleh melayang nyawa. Bukan sahaja membahayakan nyawa anda bahkan penumpang yang bersama anda dan juga pengguna jalan raya lain.