Trump mahu jadi 'maharaja' Hemisfera Barat

Iklan
Trump memperlihatkan kecenderungan untuk menghidupkan semula idea AS sebagai penguasa mutlak di Hemisfera Barat.

JANUARI baru bermula, namun dunia sudah bergoncang dek retorik politik Presiden Donald Trump yang semakin memperlihatkan kecenderungan untuk menghidupkan semula idea lama yang menggusarkan iaitu Amerika Syarikat (AS) sebagai penguasa mutlak di Hemisfera Barat yang turut digelar sebagai 'zon eksklusif' Washington.

Meskipun Trump tidak secara literal menggunakan istilah 'maharaja', kenyataan provokasi dan dasar keras beliau telah mencerminkan keinginan untuk menguasai rantau itu yang jelas melangkaui pendekatan diplomatik konvensional.

Iklan
Iklan

Pendekatan America First telah membentuk semula dasar luar AS daripada kepimpinan melalui kerjasama kepada dominasi melalui tekanan.

Ugutan pelaksanaan tarif terhadap negara-negara Amerika Latin serta cadangan tindakan ketenteraan terhadap kartel dadah di Mexico mencerminkan isyarat berulang Trump bahawa kedaulatan negara jiran hanya diiktiraf jika selari dengan kepentingan Washington.

Iklan

Pendekatan 'gila kuasa' tersebut menghidupkan semula Doktrin Monroe (1823), dasar abad ke-19 diperkenalkan Presiden Kelima AS, James Monroe lebih dua abad lalu yang menentang campur tangan kuasa Eropah di benua Amerika.

Laporan Wall Street Journal menyebut Trump mencipta istilah 'Doktrin Donroe' sebagai versi baharu Doktrin Monroe dengan fokus kepada pengukuhan dominasi ekonomi dan geopolitik AS di Hemisfera Barat.

Iklan

Ketika pentadbirannya diserang gelombang kritikan, Trump dengan angkuh merujuk Doktrin Monroe untuk membenarkan 'rampasan kuasa tidak sah' terhadap Venezuela melalui apa yang digelar sebagai Trump Corollary (lanjutan dasar America First) yang menggunakan pendekatan hubungan antarabangsa termasuk sekutu AS dinilai berdasarkan untung rugi dan bukannya atas dasar kepercayaan.

Trump memperlakukan Panama, Venezuela, Cuba dan Kanada seolah-olah mereka hanyalah watak sampingan dalam pentas dunia yang dimonopoli Amerika.

Tindakan keras terhadap imigresen, tekanan ekonomi dan ancaman pertukaran tampuk kepimpinan mengukuhkan persepsi bahawa Hemisfera Barat dilihat sebagai 'halaman belakang' AS yang perlu dikawal serta kekal dipengaruhi oleh mereka.

Pengkritik berpendapat mentaliti 'maharaja' itu berisiko menggugat kestabilan rantau berkenaan.

Dasar berat sebelah seperti itu sebenarnya boleh menyemarakkan sentimen anti-Washington dan mendorong negara-negara Amerika Latin mencari sokongan alternatif seperti China atau pakatan serantau yang bebas daripada pengaruh Washington.

Penjajahan moden

Walaupun era penjajahan klasik sudah lama berakhir, pendekatan politik unilateral Trump memperlihatkan kebangkitan satu bentuk baharu dominasi global yang digelar sebagai penjajahan moden.

Ia tidak lagi melibatkan penaklukan wilayah secara fizikal, sebaliknya dilaksanakan melalui tekanan ekonomi, campur tangan politik, ugutan ketenteraan dan kawalan pengaruh ideologi khususnya di Hemisfera Barat.

Trump melihat peranan AS bukan lagi sebagai rakan antarabangsa, tetapi sebagai kuasa tertinggi yang berhak menentukan hala tuju negara lain di rantau tersebut, sekali gus mengubah asas hubungan diplomatik kepada struktur hierarki.

Kempen pencerobohan AS ke atas Venezuela turut mencetuskan bantahan komuniti antarabangsa.

Sejak penggal pertama di Rumah Putih, Presiden ke-47 AS itu secara konsisten menggunakan ekonomi sebagai senjata politik. Ugutan tarif, sekatan perdagangan dan pengasingan kewangan dikenakan terhadap negara yang enggan mematuhi kehendak AS. Beberapa negara menjadi sasaran utama Washington termasuk Mexico, Venezuela dan Cuba.

Selain itu, sokongan melulu Trump terhadap rancangan jahat menjatuhkan kerajaan tertentu, khususnya Caracas menunjukkan sikap tidak ambil peduli beliau terhadap prinsip kedaulatan sesebuah negara.

Sejak permulaan pemerintahan Nicolas Maduro, AS enggan mengiktirafnya sebagai Presiden yang sah malah menjadikan alasan itu sebagai justifikasi untuk tindakan menggulingkan dan 'menculik' pemimpin sosialis berkenaan.

Trump juga berulang kali memanfaatkan ancaman ketenteraan sebagai instrumen tekanan.

Cadangan untuk menghantar tentera ke Mexico kononnya untuk memerangi kartel dadah dan mengukuhkan kehadiran tentera AS di Caribbean serta Amerika Tengah telah mencetuskan ketakutan dan ketidakseimbangan kuasa.

Pendekatan itu boleh dilihat sebagai satu bentuk penjajahan psikologi, di mana negara-negara terpaksa tunduk kerana bimbang akan akibatnya.

Pendekatan imigresen keras Trump juga jelas mencerminkan ideologi penjajahan. Migran dari Amerika Latin sewenang-wenangnya digambarkan sebagai ancaman keselamatan dan beban ekonomi kepada Washington.

Negara asal mereka pula dipersalahkan atas kegagalan sistemik. Strategi itu mengukuhkan hierarki di mana AS mendominasi manakala negara jiran dipandang rendah dan dianggap sekadar sumber masalah yang perlu dikawal.

Penjajahan moden 'maharaja' Trump sememangnya tidak memerlukan penjajahan fizikal atau pengibaran bendera seperti penaklukan zaman kuno.

Ia hanya dijalankan melalui tekanan ekonomi, dominasi politik, ugutan ketenteraan dan pengaruh ideologi.

Sekiranya pendekatan itu berterusan, dunia sedang menyaksikan kebangkitan imperialisme abad ke-21 iaitu penaklukan tanpa penjajah fizikal, namun memberi kesan yang sama mendalam terhadap kedaulatan dan kebebasan negara-negara kecil.