JAKARTA - Seorang wanita berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai membunuh anak kandungnya sendiri dalam kejadian menyayat hati di Kampung Pelabuan, Sukamelang, Subang, pada 13 Februari lalu.
Ketua Polis Subang, Donny Eko Wicaksono berkata, suspek yang dikenali sebagai KN tampil ke Balai Polis Subang Kota dan mengaku telah membunuh anaknya berusia enam tahun.
Menurut siasatan awal, suspek dipercayai menekap muka mangsa menggunakan bantal beberapa kali sehingga kanak-kanak itu tidak lagi bergerak.
Mangsa kemudian dipindahkan ke bilik dan dibaringkan di atas katil.
Ketika kejadian, hanya adik mangsa berusia lima tahun berada di rumah, manakala seorang lagi abang yang berusia tujuh tahun berada di sekolah. Suami suspek dilaporkan sedang bekerja di Cirebon.
Polis percaya motif kejadian berpunca daripada tekanan emosi suspek selepas berlaku pertengkaran dengan suaminya melalui perbualan telefon.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bhayangkara Losarang, Indramayu untuk bedah siasat lanjut.
Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk sebiji bantal yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta pakaian milik mangsa.
Donny menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan rumah tangga, khususnya terhadap kanak-kanak, adalah jenayah serius dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Suspek kini disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan Indonesia serta undang-undang berkaitan keganasan dalam rumah tangga, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.
Beliau turut mengingatkan bahawa konflik rumah tangga tidak seharusnya diselesaikan melalui emosi atau tindakan menyalahi undang-undang, sebaliknya perlu ditangani secara bijaksana melalui komunikasi dan sokongan pihak berkaitan.- Agensi