BATU PAHAT - Mayat nelayan kedua yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan kira-kira tujuh batu nautika di timur laut Pulau Bengkalis, Indonesia.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Fazli Misran, 41.
Jelas beliau, mangsa ditemukan sekitar jam 9 pagi oleh pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kelima.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Maritim Malaysia sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi proses penyerahan kepada pihak polis.
“Seterusnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, mayat rakan mangsa, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan di perairan Pantai Sarang Burung, Batu Pahat, pada jam 9.16 pagi.
Sebelum itu, kedua-dua mangsa disedari hilang pada pagi Sabtu selepas mereka keluar bersama jam 6 petang Jumaat untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti.