'Proses perundangan isu pajakan Pulau Pinang akan dimulakan tahun ini' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi berucap ketika Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah 2026 di Wisma Darul Aman pada Rabu.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tetap dengan pendirian memperjuangkan isu pajakan ke atas Pulau Pinang melalui saluran perundangan yang akan dimulakan pada tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pasukan khas yang dilantik sedang memperhalusi aspek teknikal dan lain-lain sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

Iklan
Iklan

“Tahun ini lah, sebelum habis tahun ini Insya-ALLAH. Pasukan kita sedang bekerja, proses untuk pergi kepada undang-undang itu teknikalnya banyak.

“Pasukan itu sudah bersedia, cuma sudut atau ‘angle’ yang akan diambil masih dalam pertimbangan. Langkahnya memang dibuat secara berperingkat, pelan-pelan,” katanya kepada media.

Iklan

Beliau ditemui sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah 2026 di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan proses tersebut mengambil masa lebih panjang sekiranya terdapat perkara tertentu yang perlu diperhalusi, namun menegaskan kerajaan negeri tidak berniat mencetuskan sebarang pertikaian.

Iklan

“Saya bukan nak cari gaduh. Kita nak buat benda yang teratur. Sebab itu ambil masa bertahun-tahun untuk buat kajian, himpunkan semua dokumen, lantik pasukan penganalisis dan pihak berautoriti dalam undang-undang untuk tentukan sudut mana yang paling sesuai.

“Kita maklumkan awal apa yang kita nak buat, cuma butiran terperinci tak dapat didedahkan sekarang kerana pasukan itu masih bekerja,” jelasnya.

Beliau turut mengharapkan agar semua warga Kedah, khususnya penjawat awam bersama mendukung usaha tersebut.

"Kalaupun usaha itu mungkin tidak menjadi kenyataan dalam tempoh Tuan-Tuan bergelar penjawat awam, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk memperbetulkan keadaan, tidak membiarkan generasi akan datang terus tersesat dalam naratif palsu penjajah dan juga mereka yang bukan pemilik sebenar tanah berdaulat kita.

"Selagi saya memimpin kerajaan negeri, saya bertekad akan berjuang habis-habisan untuk mengembalikan semula hak kedaulatan Kesultanan Kedah ke atas Pulau Pinang," ujar beliau.

Dalam ucapannya, beliau turut mengambil kesempatan menjelaskan isu hubungan dengan Pulau Pinang, khususnya yang membabitkan aspek sejarah dan situasi semasa hari ini.

"Kerajaan negeri menjunjung titah Tuanku Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan untuk isu-isu ini diperjelaskan secara telus termasuk yang berkaitan dengan pajakan Pulau Pinang.

"Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hakmilik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang telah diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786. Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di tanah milik Sultan Kedah. Ini satu jenayah.

"Pada 12 April tahun 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah melancarkan serangan untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang namun tewas.

"Pada 7 Julai tahun 1800, Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British, lalu Seberang Perai diberi nama baharu, Province Wellesley.

"Mulanya penyerahan Seberang Perai hanya seluas 60 relung. Kemudian ditambah dan terus ditambah, kini keluasan Seberang Perai ialah 751 kilometer persegi, bersamaan 261,000 relung atau 75,100 hektar," jelasnya.

Menurutnya, di peringkat awal, nilai pajakan Pulau Pinang dipersetujui oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah adalah sebanyak 6,000 Spanish Dollar namun tidak dibayar oleh Francis Light menyebabkan perang pada tahun 1791.

Jelas beliau, setelah memperoleh Seberang Perai, nilai pajakan ditambah 4,000 Spanish Dollar menjadikan jumlah 10,000 Spanish Dollar.

Katanya, selepas merdeka, pajakan diubah menjadi RM10,000. Bermula tahun 2018, ditambah RM10 juta menjadikan pajakan hari ini sebanyak RM10,010,000.

"Serangan Kedah ke atas Pulau Pinang pada tahun 1791 adalah bukti bahawa Sultan Kedah telah berusaha untuk mendapatkan kembali hak baginda ke atas tanah itu.

"Pada tahun 1956, Sultan Badlishah telah menulis surat kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu menuntut dikembalikan hak kedaulatan baginda ke atas Pulau Pinang namun dimaklumkan supaya perkara itu diuruskan selepas merdeka. Malangnya, selepas negara mencapai kemerdekaan, perkara itu terus didiamkan.

"Walaupun dihadap dengan pelbagai halangan dan kritikan termasuk dituduh cuba melanggar Perlembagaan, Kerajaan Negeri bertekad untuk memperbetulkan semula fakta sejarah yang telah dipesongkan dan ‘dijulingkan’ ini, demi menjunjung titah Tuanku Sultan Kedah," jelas beliau.