Simpanan RM200,000 lesap diperdaya pelaburan palsu

Iklan
Bahrin Mohd Noh

KLUANG – Seorang bekas pegawai bank tidak lena tidur apabila wang simpanannya berjumlah RM261,420 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang asing yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa lelaki warga tempatan berusia 65 tahun itu mula tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan ketika melayari sebuah laman sesawang pada 15 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

“Iklan tersebut menawarkan keuntungan tinggi dan mangsa kemudiannya berhubung dengan ejen pelaburan tersebut.

“Mangsa seterusnya diminta mendaftar satu akaun pelaburan melalui pautan yang diberikan dan antara 2 November hingga 23 Disember, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM261,420 kepada empat akaun berbeza secara berperingkat.

Iklan

“Mangsa turut mendapati terdapat keuntungan berjumlah RM500,000 dalam akaun pelaburan tersebut, namun tidak dapat membuat pengeluaran dan diminta pula membuat pembayaran tambahan bagi proses pengeluaran wang berkenaan,” katanya.

Tambah Bahrin, mangsa kemudiannya menyedari telah ditipu apabila tidak memperoleh wang seperti yang dijanjikan lalu membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Iklan

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4222, talian terus 07-778 4256, talian hotline 07-776 6822 atau talian DCC 014-365 6822 bagi membantu siasatan,” katanya.