Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, kerajaan tentukan langkah susulan

Iklan
Menurut Wisma Putra, berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan. Foto: AFP

SHAH ALAM - Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang kekal masih belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China terus dilaksanakan meskipun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kembali dari Nepal pada Isnin.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, Pasukan SMART yang kembali dari Nepal akan memberikan taklimat kepada kementerian di Putrajaya mengenai penugasan serta maklumat diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

Iklan
Iklan

Menurut Wisma Putra, sepanjang penugasan, SMART telah melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan pihak berkuasa Nepal termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron.

"Kementerian bersama agensi Malaysia berkaitan akan meneliti maklumat diperoleh SMART dan perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan bersesuaian.

Iklan

Kementerian memaklumkan, kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan.

"Berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan," jelas Wisma Putra.

Iklan

Menurut Wisma Putra, SMART juga telah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal bagi menyokong usaha tindak balas bencana masih dilaksanakan mereka.

"Sembilan dron turut diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

"Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal berkaitan," menurut Wisma Putra

Menurut kementerian itu, kedutaan juga akan membuat semakan dengan hospital dan agensi berkaitan, melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

"Usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China. Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China berkaitan mengenai rakyat Malaysia terjejas akibat bencana tersebut serta sebarang maklumat yang dapat membantu dalam menentukan status mereka," katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra memberitahu, Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal dan pihak berkuasa Nepal berkaitan atas kerjasama dan bantuan diberikan sepanjang penugasan SMART, selain kerjasama berterusan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Kementerian memahami bahawa berakhirnya penugasan SMART mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang.

"Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terlibat dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan," jelasnya.

Sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.

Kementerian menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga yang terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi.