KUALA LUMPUR - Pihak peguam kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan meneliti secara terperinci bukti, sebelum mengemukakan pembelaan bagi mencabar kes tersebut.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, Jamil Khir berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan telah mengaku tidak bersalah dan memilih untuk dibicarakan.
"Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 terhadap Jamil Khir dengan syarat pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
"Kami akan mengkaji bukti dan melihat pertuduhan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Hisyam berkata, sebutan semula kes ditetapkan pada 5 November depan.
"Pada tarikh berkenaan pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut peruntukan undang-undang.
"Kami akan mengkaji dokumen tersebut dengan teliti sebelum mengemukakan pembelaan yang kukuh untuk Jamil Khir," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Hamidi Mohd Noh berkata, ketiga-tiga pertuduhan tersebut berkaitan isu Tabung Haji.
"Pihak pembelaan akan memberikan pembelaan terbaik kepada Jamil Khir dan berusaha membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah," katanya.