Enam negara NATO sokong Denmark, tegaskan Greenland milik rakyatnya

Iklan
Pemimpin Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Sepanyol dan United Kingdom menegaskan bahawa Greenland adalah milik rakyatnya.

ISTANBUL – Denmark bersama enam negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengeluarkan kenyataan bersama mengenai Greenland, menuntut agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan prinsip sempadan yang tidak boleh diganggu gugat dihormati, susulan gesaan baharu dari Amerika Syarikat (AS) agar wilayah itu diambil alih, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan itu, pemimpin Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Sepanyol dan United Kingdom menegaskan bahawa Greenland adalah milik rakyatnya dan hanya Denmark serta Greenland berhak menentukan perkara berkaitan kedua-dua entiti berkenaan.

Iklan
Iklan

Kenyataan sama menyebut keselamatan Artik kekal sebagai keutamaan utama Eropah, sambil mengulangi komitmen sekutu Eropah yang telah meningkatkan kehadiran, aktiviti dan pelaburan bagi memastikan rantau itu kekal selamat.

Para pemimpin turut menekankan bahawa keselamatan di Artik perlu dicapai secara kolektif bersama sekutu NATO, termasuk AS, dengan menjunjung prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti kedaulatan, keutuhan wilayah dan sempadan yang tidak boleh dicabuli.

Iklan

Mereka menyifatkan AS sebagai rakan penting dalam usaha tersebut, sama ada sebagai sekutu NATO atau melalui perjanjian pertahanan antara Kerajaan Denmark dan AS yang dimeterai pada 1951.

Sementara itu, menteri-menteri luar Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden menyatakan komitmen bersama sebagai negara Nordik, negara Artik dan sekutu NATO untuk mengekalkan keselamatan, kestabilan serta kerjasama di Artik.

Iklan

Menurut mereka, pelbagai langkah telah diambil bagi meningkatkan pencegahan dan pertahanan di rantau itu, termasuk keupayaan baharu, peningkatan aktiviti, kehadiran fizikal serta kesedaran situasi.

Mereka turut menyokong usaha NATO untuk mempertingkatkan kehadiran dan kewaspadaan di Artik, selain menyatakan kesediaan untuk menambah pelaburan keselamatan melalui rundingan rapat dengan AS dan sekutu lain.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Greenland dan Denmark dilaporkan telah memohon pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menurut Menteri Luar Greenland di media sosial Facebook.

Menteri Luar Greenland, Vivian Motzfeldt, berkata pihak berkuasa wilayah autonomi itu dan Copenhagen telah menghubungi Jabatan Negara AS susulan kenyataan terbaharu Presiden AS, Donald Trump, mengenai Greenland.

Beliau berkata, permohonan dibuat bagi mengadakan pertemuan dengan Rubio dalam masa terdekat, dengan Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen, dijangka turut serta.

Motzfeldt menambah, meskipun permohonan pertemuan telah dibuat sebelum ini, pertemuan berkenaan masih belum berlangsung. - Bernama