Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

Iklan
Ringgit turut mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dan ASEAN - Gambar hiasan

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila pasaran menilai semula insiden antara AS dan Venezuela sebagai gangguan politik yang terkawal dari sudut ekonomi, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0445/0495 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0745 ketika ditutup pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, berdasarkan situasi semasa, para pelabur tidak melihat kesan ketara terhadap pertumbuhan global, bekalan tenaga atau kestabilan kewangan.

“Apabila permintaan awal terhadap dolar AS sebagai aset selamat mula merosot, hasil AS dan dolar kehilangan premium defensifnya, sekali gus membolehkan mata wang berisiko tinggi dan beta tinggi seperti ringgit kembali mengukuh.

Iklan

“Perbezaan yang wujud antara Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih lemah dan kekuatan mata wang Asia menandakan kejutan risiko jangka pendek, bukan permulaan kepada kitaran pengurangan hutang global yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Iklan

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5865/5899 daripada 2.5932/5965 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7373/7432 daripada 4.7540/7598, namun lemah sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4742/4810 daripada 5.4706/4774 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan secara bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.83/6.84 daripada 6.88/6.90, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9383/9592 daripada 12.9891/13.0109.

Namun begitu, ringgit sedikit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 243.1/241.7 daripada 243.0/243.5, dan juga lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1608/1649 daripada 3.1603/1644 pada Isnin.