KUANTAN – Pahang berjaya merekodkan pelaburan komited berjumlah RM18.04 bilion sepanjang tahun lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu merangkumi pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM15.01 bilion dan pelaburan domestik (DDI) sebanyak RM3.03 bilion.
Menurutnya, pencapaian tersebut merekodkan pertambahan RM3.95 bilion atau 28.03 peratus berbanding sasaran tahun 2025 iaitu sebanyak RM14.09 bilion.
“Perkembangan ini menunjukkan ekonomi Negeri Pahang terus berada pada landasan yang kukuh, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah Bubbles O2 di tanah milik Yayasan Pahang, Ladang Gambang pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan yang diyakini serta berpotensi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, beliau berkata, projek cari gali sumber air bawah tanah hasil kerjasama antara Yayasan Pahang dan syarikat pengeluar air mineral tempatan, Bubbles O2, merupakan satu lagi inisiatif meneroka potensi sumber semula jadi negeri yang mampu memberi pulangan ekonomi jangka panjang kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, projek tersebut dijangka mampu mengeluarkan kira-kira 14 juta botol air mineral setahun, sekali gus memberi manfaat besar kepada kerajaan negeri dari segi hasil, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi setempat.
Beliau berkata, pengeluaran sulung air mineral bawah tanah di lokasi tersebut dijangka bermula dalam tempoh enam bulan, sekiranya semua perancangan berjalan lancar.
“Tadi kita sudah lihat sendiri air telah memancut keluar. Insya-Allah, pengeluaran boleh dimulakan secepat mungkin dan ini memberi kelebihan kepada negeri kerana hasil dapat diperoleh lebih awal.
“Selain itu, projek ini dijangka mampu mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan, dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak Pahang,” katanya.
Tambah beliau, projek berkenaan juga membuka potensi untuk dikembangkan ke kawasan lain termasuk Pahang Barat.