SEPANG – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap sebarang pencerobohan yang berlaku di atas tanah milik persendirian.
Menurut PDT Sepang, penjelasan itu perlu dibuat bagi membetulkan salah tanggapan orang awam terhadap peranan dan bidang kuasa agensi kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Dalam satu kenyataan, PDT Sepang memaklumkan bahawa berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN), kuasa penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 hanya terpakai bagi pencerobohan yang berlaku di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan sahaja.
"Bagi tanah milik persendirian, hak eksklusif terhadap pemilikan, penjagaan dan tindakan undang-undang berkaitan pencerobohan adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pemilik tanah, selaras dengan peruntukan Seksyen 44(1)(a) KTN," menurut kenyataan itu.
Jelasnya, sebarang pencerobohan ke atas tanah persendirian diklasifikasikan sebagai pertikaian sivil antara pemilik tanah dan pihak penceroboh.
"Bagi tujuan melindungi hak milik persendirian, pemilik tanah bertanggungjawab untuk memulakan prosiding dan tindakan undang-undang sewajarnya termasuk membuat laporan polis sebagai dokumentasi rasmi dan keterangan awal bagi tujuan litigasi,” jelas kenyataan tersebut.
PDT Sepang turut menasihatkan pemilik tanah agar mendapatkan khidmat nasihat perundangan dan melantik peguam cara bagi memulakan tindakan sivil melalui mahkamah untuk memperoleh remedi undang-undang yang sah.
Menurut kenyataan itu lagi, sebarang tindakan penguatkuasaan termasuk merobohkan struktur di atas tanah persendirian hanya boleh dilaksanakan dengan perintah mahkamah sivil bagi mengelakkan tindakan melampaui bidang kuasa atau ultra vires.
"PDT Sepang komited untuk menangani isu ini secara berhemah demi kepentingan awam dan menasihatkan pemilik tanah agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam.