BALIK PULAU - Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang disengat ikan ketuka ketika mandi di Pantai Tanjung Asam Gertak Sanggul di sini telah dibenarkan keluar hospital petang Isnin.
Ibunya, Siti Aishah Zainal Abidin, 37, berkata, keadaan kesihatan anak tunggalnya semakin baik, namun memerlukan pemantauan kerana masih menunjukkan gejalan demam ringan.
"Alhamdulillah, anak saya dalam proses pemulihan. Cuma ada keluar cecair sedikit di tempat luka terkena sengatan tetapi dia dah tak sakit, sekali sekala ada rasa gatal sahaja.
"Doktor ada membekalkan ubat demam dan antibiotik yang perlu dihabiskan selain berpesan kepada kami supaya lebih berhati-hati selepas ini dan memakai pakaian mandi yang lengkap serta kasut khas bagi mengelak risiko kejadian tidak diingini seperti tempoh hari,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.
Siti Aishah berkata, kejadian tersebut merupakan sesuatu di luar jangka kerana ini bukan kali pertama mereka sekeluarga beriadah di pantai tersebut, malah kerap melakukan aktiviti berkhemah di tepi laut dan ketika insiden kira-kira 5 petang itu, terdapat banyak keluarga lain turut mandi-manda di situ.
Siti Aishah berkata, dia dan suaminya panik selepas anak mereka tiba-tiba menjerit kesakitan dan tidak boleh bangun selain melihat darah agak banyak mengalir keluar dari kaki kanan kanak-kanak itu.
"Jalan pula sesak hari itu sebab Sabtu dan cuti sekolah, jarak dari pantai di Balik Pulau ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pula jauh, jadi memang panik ketika itu dengan anak menangis, tidak boleh sentuh langsung kaki sebab sakit,” katanya.
Walaupun insiden berkenaan tidak memberikan kesan emosi terhadap anaknya namun, mereka sekeluarga mengambil pengajaran supaya lebih berwaspada selepas ini terutama ketika mandi di laut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam kejadian Sabtu lepas, kanak-kanak berusia 10 tahun itu dikejarkan ke HPP selepas disengat ikan ketuka iaitu spesies ikan pari kecil ketika mandi di Pantai Tanjung Asam, Gerak Sanggul. - Bernama