CHANGLUN - Sebuah kenderaan asing dikesan menggunakan taktik memasang nombor pendaftaran mirip kereta tempatan sebagai cubaan mengisi minyak subsidi RON 95 di sebuah stesen minyak di sini pada Sabtu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan ke atas sebuah stesen minyak susulan penularan kes berkenaan di media sosial pada Isnin.
"Kita telah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan berlaku pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menggantikan nombor plat seakan-akan plat kenderaan pendaftaran Malaysia bagi mengelak dikesan.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak tersebut mendapati kenderaan tersebut tidak membuat pengisian minyak petrol RON95 tetapi telah mengisi minyak petrol RON97 sebanyak 25.02 liter bersamaan RM79.06 serta pembayaran dengan menggunakan kad visa," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial tindakan seorang lelaki menggunakan kenderaan asing yang berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak subsidi RON 95.
Berdasarkan laporan yang tular di media sosial, kakitangan stesen minyak didakwa cuba membuat semakan lanjut status warganegara lelaki terbabit sehingga menyebabkannya terpaksa menukar pengisian kepada petrol RON 97.
Menurut Muhammad Nizam, KPDN telah mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April 2025 kepada pengusaha stesen minyak seluruh negeri Kedah.
Menurut beliau, jika didapati bersalah atas Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing, pengusaha stesen minyak, boleh dilenakan denda.
"Denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan, bagi kesalahan kedua dan berikutnya.
"Denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan," jelasnya.