BANGI - Seramai 200 anak yatim dan asnaf diraikan dalam program Fun Run Sentuhan Kasih Ihsan Anak bersama Gaza anjuran Pertubuhan Ihsanku Malaysia (Ihsanku) yang berlangsung di Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Ahad.
Program berkonsepkan riadah santai dan advokasi kemanusiaan itu melibatkan penyertaan anak-anak yatim daripada sembilan rumah angkat Ihsanku, iaitu Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam, Rumah Teduh Perlis, Rumah Amal Raudhatul Jannah, Rumah Kasih Harmoni, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Muhammad Al-Fateh, Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah, Rumah Titian Kaseh dan Pusat Jagaan Al-Hidayah.
Turut diraikan ialah anak-anak yatim dari Gaza yang merupakan sebahagian daripada projek Keluarga Angkat Ihsanku, sekali gus menyemarakkan semangat solidariti dan keprihatinan terhadap nasib anak-anak Palestin.
Antara pengisian utama program ialah larian santai, selain aktiviti mewarna mural Bendera Palestin serta sesi anak-anak ini menulis kad ucapan “Surat Cinta Untuk Anak Yatim Gaza”, yang memberi ruang kepada mereka menzahirkan mesej kasih sayang dan sokongan moral kepada anak-anak yatim Gaza.
Dalam majlis sama, Ihsanku turut menyampaikan Sumbangan Bantuan Persekolahan dan Sumbangan Mikro Ihsan Anak berjumlah RM5,000 kepada setiap rumah angkat serta keluarga angkat Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang diagihkan mencecah RM80,000.
Promosi Iftar 1000 Anak Yatim
Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Muhammad Syariffuddin Supeni, berkata program Fun Run ini merupakan langkah kecil menuju acara kemuncak Ramadan nanti iaitu Iftar Seribu Anak Yatim Nusantara bersama Gaza, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2026 bersamaan 10 Ramadan 1447H.
“Program Fun Run ini adalah salah satu inisiatif Ihsanku untuk memperkenalkan dan mempromosikan Program Iftar Seribu Anak Yatim Nusantara bersama Gaza yang akan dilaksanakan Ramadan nanti.
“Selain itu, ia juga merupakan acara tahunan Ihsanku yang menghimpunkan rumah-rumah anak yatim dan pusat jagaan yang menjadi rumah angkat kami, dengan matlamat untuk mengeratkan ukhuwah serta kali ini yang istimewanya membawa anak-anak ini ke dalam UKM Bangi bagi mereka merasai suasana berada di menara gading,” katanya.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sekadar memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kebajikan serta menyemai nilai kemanusiaan dan empati dalam kalangan komuniti Institusi Pengajian Tinggi.
Program Fun Run Sentuhan Kasih Ihsan Anak bersama Gaza itu juga mencerminkan komitmen berterusan Ihsanku dalam memperjuangkan kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan anak-anak yatim serta anak-anak golongan kurang bernasib baik, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.