BATU PAHAT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Batu Pahat sejak Sabtu lalu masih belum menemukan sebarang petunjuk.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot Petir 51 diatur gerak ke lokasi kejadian dengan sektor pencarian diperluaskan meliputi kawasan seluas 207 batu nautika persegi bermula jam 7 pagi Isnin.
Menurutnya, setakat petang Isnin, usaha pencarian masih belum membuahkan hasil dan operasi tertumpu di sekitar posisi terakhir mangsa dipercayai terjatuh ke laut.
“Operasi kali ini turut melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar menangguhkan aktiviti ke laut sekiranya cuaca tidak mengizinkan serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan.
Orang ramai khususnya warga maritim juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap risiko di laut dan membuat persediaan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Fadzli Misran, 41, hilang bersama rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, selepas keluar kira-kira jam 6 petang pada Sabtu lalu untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang.
Bagaimanapun, kehilangan dua rakan tersebut hanya disedari penduduk selepas bot yang dinaiki mereka ditemukan pagi Ahad di perairan berkenaan bersama joran serta bubu, namun kedua-dua mangsa tiada di dalam bot.
Terdahulu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada jam 3.45 petang Sabtu sebelum Zon Maritim Batu Pahat menubuhkan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Sungai Tongkang bagi menyelaras operasi di lapangan.
Sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-434 4020 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.