JINAN – Seorang lelaki di daerah ini menerima 50 tan keledek manis daripada seorang dermawan misteri selepas berkongsi kisah keluarganya mencari dana bagi merawat isteri yang menghidap kanser.
Jia Changlong, 35, dari Dezhou, Wilayah Shandong, kini dilihat menjual keledek yang didermakan itu di gerai tepi jalan di Jinan, dengan harapan hasil jualan dapat bantu menampung kos rawatan isterinya.
Iklan
Iklan
Isterinya yang dikenali sebagai Li, merupakan seorang suri rumah kini menetap di Yantai, Shandong bersama seorang anak lelaki berusia lapan tahun.
Pada Julai lalu, Li disahkan menghidap leukemia myeloid akut, iaitu kanser darah yang memerlukan rawatan intensif dengan kos yang tinggi.
Walaupun telah menjalani beberapa rawatan awal, dia kini masih dalam proses pemulihan di rumah.
Selepas kisahnya dikongsi di media sosial, seorang dermawan yang tidak dikenali menghubungi Jia melalui aplikasi pesanan dan mula menghantar keledek dalam jumlah besar secara berperingkat menggunakan lori.
Jia kini menjual keledek tersebut dan menggunakan hasil jualannya untuk menampung kos perubatan yang dianggarkan mencapai kira-kira 2 juta yuan bagi meneruskan rawatan isterinya. - Agensi