NEW YORK – Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro membuat penampilan pertamanya di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Manhattan, New York, pada Isnin bagi menghadapi dakwaan tuduhan jenayah termasuk konspirasi narco-terrorisme dan pengimportan kokain.
Penculikan mengejut beliau oleh pasukan khas AS pada Sabtu lalu di Caracas telah mencetuskan protes besar-besaran di ibu negara dan beberapa bandar utama Venezuela, sambil menarik perhatian antarabangsa terhadap kedaulatan negara itu.
Maduro, 63, kini ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn, New York, bersama isterinya, Cilia Flores, yang turut menghadapi tuduhan jenayah yang sama.
Jabatan Kehakiman AS mendakwa Maduro dan pegawai lain menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk memudahkan pengimportan kokain ke AS selama lebih dua dekad.
Peguam Negara AS, Pam Bondi, menegaskan bahawa pasangan itu “tidak lama lagi akan menghadapi sepenuhnya keadilan Amerika di tanah Amerika, di mahkamah Amerika.”
Sementara itu, Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, yang dilantik sebagai pemimpin sementara oleh Mahkamah Agung Venezuela selepas penahanan Maduro, menolak dakwaan AS bahawa beliau bersedia bekerjasama.
Presiden AS, Donald Trump, pula memberi amaran bahawa Rodriguez 'mungkin akan membayar harga lebih besar daripada Maduro' sekiranya enggan mematuhi permintaan Washington, termasuk membuka industri petroleum Venezuela dan menghentikan penyeludupan dadah.
Meskipun berhadapan tekanan daripada Trump, Rodriguez, telah menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi mendapatkan pembebasan Maduro dan isterinya, Cilia Flores.
Dalam masa yang sama, anak Maduro, Nicolas Maduro Guerra, mendakwa wujud unsur pengkhianatan dalam kalangan orang kepercayaan bapanya yang membocorkan maklumat sehingga membolehkan operasi penahan berjalan lancar.
“Sejarah akan menentukan siapa pengkhianat sebenar,” kata Maduro Guerra dalam mesej audio yang tular, sambil bertekad mendedahkan individu bertanggungjawab di sebalik pengkhianatan tersebut.
Protes anti-AS meletus di Caracas dan bandar utama lain, dengan ribuan penyokong Maduro berhimpun di hadapan Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn, Amerika Syarikat.
Mereka mengecam tindakan AS yang didakwa sebagai campur tangan asing terhadap kedaulatan Venezuela.
Laporan media antarabangsa juga mendedahkan cubaan pihak perisikan AS untuk memujuk juruterbang peribadi Maduro, Kolonel Bitner Villegas, bagi membantu penculikan, namun gagal.
Tentera Bolivarian Venezuela mengecam operasi AS itu sebagai 'penculikan pengecut' dan mengumumkan tahap kesiagaan penuh di seluruh negara, bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman, sambil menekankan koordinasi ketenteraan, polis dan awam untuk mempertahankan kedaulatan.
Menteri Pertahanan Vladimir Padrino Lopez berkata, sebahagian besar anggota keselamatan Maduro telah terbunuh dalam serangan itu.
Komuniti antarabangsa memberi reaksi bercampur. Banyak negara mengutuk penggunaan kekerasan oleh AS terhadap negara berdaulat, sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merancang mesyuarat Majlis Keselamatan pada Isnin bagi membincangkan serangan tersebut.
Demonstrasi solidariti turut diadakan di Madrid, London, dan bandar lain, menuntut penghormatan terhadap kedaulatan Venezuela.
Setakat ini, operasi AS telah menimbulkan persoalan mengenai undang-undang antarabangsa, kesan terhadap politik dalaman Venezuela, serta kemungkinan ketidakstabilan lebih meluas di negara kaya minyak itu.
Ekonomi Venezuela, yang pernah menjadi antara yang paling makmur di Amerika Latin, kini berada dalam krisis yang mendalam selepas lebih 20 tahun kemerosotan, menyebabkan kira-kira satu dalam lima rakyatnya berhijrah ke luar negara. -Agensi