Pelajar UniSZA maut dirempuh kereta di persimpangan lampu isyarat

Iklan
Kereta Perodua Viva dipandu mangsa remuk selepas dirempuh sebuah kenderaan lain ketika membelok di lampu isyarat JPJ, Kuala Terengganu dalam kejadian pada Isnin. Gambar kecil: Syakirah Hanan FOTO: Bomba

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 1.55 tengah hari melibatkan sebuah Perodua Viva dan sebuah Honda Jazz.

"Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu mangsa datang dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil.

Iklan

"Ketika berhenti di lampu isyarat dan mula bergerak membelok ke kanan selepas lampu bertukar hijau, kenderaan mangsa telah dirempuh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut Azli, akibat perlanggaran itu bahagian hadapan sebelah kiri Perodua Viva tersebut remuk manakala Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Iklan

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut manakala siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Pemandu Honda Jazz pula kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana patah tangan kanan dan tengkuk," jelas beliau.