Pulau Pinang sokong RUU hadkan tempoh jawatan PM dua penggal

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyambut baik cadangan Kerajaan Perpaduan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RUU berkenaan merupakan antara langkah reformasi institusi yang amat penting dalam memperkukuh amalan demokrasi serta memastikan tadbir urus negara dilaksanakan secara lebih telus dan berintegriti.

Iklan
Iklan

"Lebih penting, langkah ini menegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam menunaikan janji untuk terus memperkukuh agenda reformasi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pembaharuan tersebut selari dengan langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama di negara ini mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Iklan

"Pelaksanaan itu dibuat selepas pindaan Perkara 7 Fasal 2(a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 16 November 2018," ujarnya.

Kon Yeow berkata, beliau turut yakin bahawa cadangan berkenaan mencerminkan aspirasi rakyat yang mahukan sistem pentadbiran negara berjalan secara lebih telus, berakauntabiliti serta bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Iklan

"Pada masa sama, ia dapat menggalakkan proses peralihan kuasa yang sihat dan berteraskan prinsip semak dan imbang," ujarnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap pembaharuan institusi tersebut dapat diterjemahkan melalui tindakan konkrit serta pindaan perundangan yang jelas demi kepentingan masa depan negara dan generasi akan datang," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Beliau berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.