JERANTUT – Perjalanan pulang ke rumah bertukar menjadi detik cemas apabila lelaki berusia 29 tahun melihat seekor harimau belang melintas di hadapan kenderaannya pada jarak kurang 5 meter di laluan utama Kampung Bantal di sini pada Sabtu.
Penoreh getah, Muhammad Syazwi Rosli berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu pulang dari Kuala Tahan ke rumahnya kira-kira jam 7 malam.
"Kali pertama nampak, harimau itu baru melintas jalan (di Kampung Bantal) dari arah kanan ke kiri sebelum ia memanjat bukit dan baring (berehat) di atasnya.
"Rasa takut itu memang ada sehingga tangan saya menggeletar dan lihat haiwan itu secara dekat...kalau ikutkan jarak saya dengan harimau tersebut dianggarkan 5 meter," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dia yang bekerja sebagai mekanik motosikal sambilan memberitahu, sebelum ini beberapa penduduk kampung cuba merakam gambar namun tidak jelas menyebabkan dirinya mengambil inisiatif merakam dari dalam kenderaan.
Ceritanya, bagaimanapun keadaan harimau itu dilihat sihat dan berisi, berbeza dengan kemunculan harimau belang yang pernah dilihat penduduk sebelum ini dalam keadaan kurus.
"Saya nampak harimau itu sihat dan gemuk. Pergerakannya juga sangat tangkas semasa memanjat bukit.
"Malah dalam rakaman itu, jelas kelihatan kesan darah pada (badan) harimau itu dan ia dipercayai baru lepas makan bangkai lembu milik penduduk di kebun getah berhampiran,” ujarnya.
Bimbang dengan keselamatan penduduk setempat, Muhammad Syazwi berkata, penampakan haiwan pemangsa itu dimaklumkan melalui kumpulan WhatsApp penduduk.
Jelasnya, tindakan tersebut dibuat memandangkan lokasi tersebut adalah kawasan kebun getah dan tanaman sawit yang menjadi punca rezeki warga kampung.
"Saya minta penduduk berhati-hati bukan apa, semua bekerja di kebun. Jadi bila ada pemakluman begini orang ramai akan peka," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya Muhammad Syazwi, aduan dipanjangkan kepada wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang berada di kampung tersebut untuk tindakan lanjut.
"Kita berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menyelesaikan ancaman harimau itu sebelum berlaku kejadian tidak diingini," katanya
Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin sebelum ini mengesahkan kewujudan harimau di Hulu Tembeling.
Pada Ahad, tular satu rakaman video yang berdurasi 28 saat di laman sosial berhubung penampakan seekor harimau belang di pinggir jalan utama di kawasan Hulu Tembeling di sini.
Berdasarkan hantaran yang yang dikongsikan, kelibat pemangsa tersebut dikesan sekitar jam 7 hingga 7.30 malam pada Sabtu.
Pada 22 November lalu, tular di media sosial video seekor harimau belang berkeliaran di jalan menghala Kampung Membatu dan disusuli penemuan kedua pada 8 Disember lalu di lokasi sama.
Manakala 27 Disember lalu, seekor lembu betina bunting mati dibaham haiwan buas itu.