'Sangka bunyi ekzos motosikal, rupanya tembakan'

Iklan
Polis melaksanakan pemantauan ketat di sekitar lokasi kejadian.

BANTING - Bunyi seperti meletup yang awalnya disangkakan ekzos motosikal rupanya insiden tembakan yang menyebabkan kematian seorang lelaki di sebuah restoran makanan segera di sini pada Ahad.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 10.05 malam semasa mangsa sedang berada di luar restoran terbabit sebelum didatangi suspek menaiki motosikal.

Iklan
Iklan

Suspek kemudian dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Seorang pengunjung premis berhampiran lokasi kejadian berkata, dia terkejut apabila melihat kenderaan polis dengan bunyi siren datang ke lokasi kejadian.

Iklan

"Awalnya saya ingatkan bunyi meletup itu macam bunyi ekzos motosikal.

"Tak lama kemudian polis datang...orang ramai lari dan berkumpul depan sini. Memang terkejut bila jadi macam ini. Pertama kali jadi di sini," katanya ketika ditemui di sini.

Iklan

Orang ramai berada di lokasi kejadian bagi mengetahui berkenaan kejadian tembakan di Banting pada Ahad.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan itu telah disekat dengan kawalan ketat polis bagi pasukan forensik menjalankan pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian.

Beberapa anggota polis juga cuba menenangkan ahli keluarga mangsa yang datang ke lokasi kejadian.

Kawasan kejadian disuraikan kira-kira jam 1.30 pagi (Isnin).

Turut kelihatan di lokasi ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi.

Menurut Mohd Akmalrizal, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerima maklumat kejadian terbabit daripada MERS 999.

"Mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.

Mayat mangsa yang terkena beberapa das tembakan dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.