SETIAP kali kalender bertukar angka, suasana seolah-olah memberi nafas baharu kepada kehidupan.
Tahun baharu sering disambut dengan harapan, doa dan azam yang disusun rapi, seakan-akan ia menjadi garis pemisah antara kegagalan lalu dan kejayaan yang ingin dicapai.
Ada yang berjanji mahu lebih berjaya dalam kerjaya, ada yang mahu lebih sihat, tidak kurang juga yang berazam memperbaiki hubungan kekeluargaan serta meninggalkan tabiat buruk yang lama dalam diri.
Semua ini mencerminkan fitrah manusia yang sentiasa menginginkan perubahan ke arah yang lebih baik.
Namun, realitinya tidak semua azam itu sampai ke penghujung. Banyak yang sekadar tersimpan dalam lipatan hati, berulang dari satu tahun ke satu tahun tanpa perubahan seperti dihajatkan hati.
Ada yang terlalu yakin dengan semangat awal tahun, tetapi tewas apabila berhadapan cabaran dan kesibukan harian.
Akhirnya, azam tinggal tulisan dan sebutan, tanpa bukti dalam tindakan.
Di sinilah pentingnya melihat tahun baharu bukan sekadar simbol permulaan, tetapi ruang muhasabah dan tindakan.
Mengimbau kembali azam lama yang belum tercapai bukan bertujuan menyalahkan diri, sebaliknya untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki langkah.
Tanpa penilaian semula, azam hanya menjadi angan-angan indah di bibir, tetapi kosong dalam amalan.
Dalam keghairahan mengejar kejayaan dunia, manusia sering terlupa satu hakikat asas kehidupan iaitu apa yang dibawa ke akhirat bukanlah pangkat, harta atau gelaran, tetapi amal yang dilakukan.
Penulis teringat apa yang disampaikan khatib ketika khutbah solat Jumaat pada akhir tahun lalu yang menyingkap beberapa perkara penting berkenaan muhasabah diri.
Antaranya, awal tahun baharu wajar dijadikan masa untuk bertanya kepada diri sendiri tiga soalan muhasabah yang besar dan mendalam. Soalan-soalan ini mungkin tidak selesa, namun sangat perlu untuk membentuk kesedaran.
Soalan pertama, apakah yang telah dilakukan untuk agama? Dalam kesibukan seharian, sejauh mana hubungan dengan ALLAH benar-benar terjaga? Adakah solat ditunaikan dengan penuh kesedaran atau sekadar rutin?
Berapa banyak masa dihabiskan untuk perkara yang melalaikan berbanding usaha mendekatkan diri kepada-NYA? Lidah yang digunakan setiap hari, adakah lebih banyak membawa kebaikan atau sering terlanjur menyakiti orang lain?
Dan berapa banyak hak manusia yang terabai tanpa disedari?
Soalan kedua pula menyentuh hubungan dengan keluarga, aspek yang paling hampir tetapi paling mudah diabaikan. Dalam mengejar dunia, berapa banyak hati ahli keluarga yang terluka? Berapa kali mereka diketepikan atas alasan kesibukan kerja?
Adakah doa untuk ibu bapa sentiasa mengiringi langkah hidup, atau mereka dibiarkan menanggung kecewa kerana sikap kita sendiri?
Soalan ketiga berkaitan hubungan dengan manusia secara keseluruhan. Bagaimana sikap kita terhadap orang di sekeliling?
Adakah kita pernah menolak hak orang lain, mengumpat, berdusta atau menyakiti dengan kelebihan status dan kedudukan?
Semangat tahun baharu seharusnya diterjemahkan dalam bentuk perubahan kecil tetapi konsisten.
Tidak perlu azam yang terlalu besar sehingga sukar dilaksanakan. Apa lebih penting ialah keikhlasan untuk berubah dan keberanian untuk bermula.
Akhirnya, tahun baharu adalah peluang untuk memperbetulkan diri. Selagi masih diberi masa, pintu untuk menjadi insan yang lebih baik sentiasa terbuka, namun ia hanya bermakna jika disertai usaha dan kesungguhan, bukan sekadar harapan yang berulang tanpa tindakan.
*Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Utara