BATU PAHAT – “Kami tujuh beradik tidak pernah berhenti berdoa agar ayah ditemui. Saya dan ibu akan tunggu ayah pulang di jeti nelayan.”
Demikian luahan Muhd Nur Hakimi Mohd Fadzil, 18, yang masih berharap agar bapanya, Mohd Fadzli Misran, 41, segera ditemukan.
Mohd Fadzli dilaporkan hilang bersama rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, selepas turun ke laut pada jam 6 petang, Jumaat lalu.
Difahamkan, mereka ke laut untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang.
Kehilangan kedua-dua lelaki itu disedari apabila penduduk menemukan bot dinaiki mereka pada pagi Sabtu, lengkap dengan joran dan bubu.
Muhd Nur Hakimi, anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku ketika kali terakhir ditemui pada petang Jumaat.
“Ayah bergantung kepada pendapatan hasil laut selain bekerja sebagai tukang untuk menyara kami tujuh beradik. Ibu pula hanya suri rumah.
“Seperti biasa, pada sebelah petang, ayah akan turun ke laut bersama rakannya dari Jeti Sungai Tongkang yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah kami di Kampung Sungai Tongkang Laut,” katanya.
Sementara itu, Khatijah Rahindi, 74, ibu kepada Mohd Saiful Azli, berkata, dia tidak berputus asa berdoa agar anak sulung daripada tiga beradik itu segera ditemukan.
“Sebagai ibu, saya mahu menatap wajah anak walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Saya berserah dan berharap semoga ada nelayan yang menemui mereka,” katanya sambil menahan sebak.
Adik kepada Mohd Saiful Azli, Nur Syaza Lina, 40, pula berkata, dia mengetahui berita kehilangan abangnya selepas isteri Mohd Fadzli datang ke rumah bertanya tentang keberadaan mereka.
“Saya dapat tahu abang hilang jam 11.30 pagi semalam. Saya cuba hubungi telefon abang tetapi gagal.
“Isteri Mohd Fadzli minta saya cari di kawasan Punggur, tapi mereka beritahu abang dan rakannya belum pulang.
“Selepas gagal, saya ke Jeti Sungai Tongkang dan menemui kereta abang di situ sebelum ke balai untuk membuat laporan polis. Biasanya kalau abang keluar jam 6 petang, dia akan pulang sekitar jam 8 atau 9 malam,” jelasnya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa operasi pencarian masih dijalankan sejak pagi Ahad.