KUALA LUMPUR - Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan dua kelab Liga Super Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dan PDRM FC masing-masing berdepan kes tunggakan gaji pemain.
Dalam kenyataan hari ini, MFL memaklumkan Kelantan TRW telah diarahkan oleh First Instance Body (FIB) Financial Fair Play (FFP) pada 14 November lepas untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan pembayaran selewat-lewatnya pada 31 Disember.
"Tunggakan gaji pemain Kelantan The Real Warriors melibatkan gaji musim 2024-2025 di bawah pengurusan pemilik kelab terdahulu, manakala setakat ini tiada tunggakan gaji direkodkan bagi musim 2025-2026.
"Selain Kelantan The Real Warriors, PDRM FC yang turut mempunyai kes tunggakan gaji bagi musim ini juga telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen FFP sebelum tarikh akhir berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MFL memaklumkan sebarang keputusan berhubung kes tunggakan gaji melibatkan kedua-dua kelab berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat FFP FIB dalam masa terdekat.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu turut menjelaskan pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFM) berhubung kes tunggakan gaji pemain menerusi pelaksanaan FFP.
Selepas 13 perlawanan, Kelantan TRW berada di kedudukan ke-11 liga dengan 11 mata, manakala PDRM FC menghuni dasar liga dengan hanya mengumpul enam mata.
November lepas, Kelantan TRW dan PDRM FC masing-masing didenda RM70,000 dan larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua Liga-M bermula bulan ini selepas gagal mematuhi arahan MFL berkaitan kewajiban menyerahkan Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan serta laporan kewangan yang diperlukan. - Bernama