Imigresen FC bawa aksi Liga Super ke Perlis

Iklan
Hamzah (tiga dari kanan) menerima kunjungan Imigresen FC yang diketuai Syed Mahadi (tiga dari kiri) di Kangar pada Ahad.

Aksi Liga Super kembali mewarnai bumi Perlis apabila Imigresen FC (IFC) memilih Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IFC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah atas sokongan dalam merealisasikan penggunaan stadium berkenaan sebagai venue rasmi kelab berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, kembalinya aksi Liga Super ke negeri ini menjadi detik bersejarah yang menghidupkan semula saingan elit bola sepak di Perlis, selain memberi peluang kepada penyokong tempatan menyaksikan perlawanan secara langsung di halaman sendiri.

“IFC percaya sokongan padu rakyat Perlis akan menjadi pemangkin semangat pasukan sepanjang musim ini,” katanya selepas mengunjungi Hamzah di Kangar pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, IFC turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Perlis atas bantuan dan kerjasama dalam memastikan kemudahan stadium berada pada tahap terbaik serta bersedia untuk penganjuran perlawanan Liga Super.

Menurut Syed Mahadi, sinergi antara kerajaan negeri dan IFC disifatkan sebagai komitmen bersama dalam usaha memartabatkan bola sepak sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini.

Iklan

“Kehadiran semula aksi elit di Stadium Tuanku Syed Putra mampu menyemarakkan semangat penyokong serta memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak tempatan.

“Dengan slogan “We Won’t Quit, We Try Harder”, IFC bertekad untuk memberikan saingan terbaik dan memastikan kepercayaan yang diberikan diterjemahkan melalui prestasi cemerlang di atas padang,” ujarnya.

Skuad kendalian Yusri Che Lah tersebut sebelum ini menggunakan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang kini berada di tangga ketujuh Liga Super dengan 18 mata selepas 16 perlawanan.