PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mempersoalkan isu kelewatan perlawanan akibat masalah teknologi ketika pasukannya membenam Tottenham Hotspur 4-1 dalam aksi derbi London Utara saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin.
Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu tergendala dua kali akibat masalah komunikasi antara pegawai perlawanan.
Insiden pertama berlaku pada separuh masa pertama apabila aksi tertangguh lebih lima minit susulan kerosakan pada pek bateri yang dipakai penolong pengadil, Blake Antrobus.
Masalah berkenaan menyebabkan Antrobus tidak dapat berhubung dengan pengadil utama, Peter Bankes serta pegawai perlawanan lain, sekali gus memaksa permainan dihentikan sementara.
Situasi serupa berulang sebelum sepak mula babak kedua apabila perlawanan sekali lagi tertangguh selama beberapa minit, sesuatu yang jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Arteta.
“Setiap kali kami lambat keluar dari bilik persalinan, kami dikenakan denda yang besar.
“Jadi saya bertanya, siapa pula yang akan dikenakan denda kali ini kerana kelewatan enam, tujuh, lapan hingga sembilan minit?
"Nampaknya kami mengumpul satu lagi denda,” sindir Arteta.
Sementara itu, pengulas Sky Sports, Gary Neville menyifatkan insiden berkenaan sebagai “kekacauan mutlak”, sambil mengkritik kegagalan teknikal yang menjejaskan kelancaran perlawanan berprofil tinggi itu.
Bekas pengadil EPL, Darren Cann ketika mengulas kepada BBC Sport menjelaskan bahawa perlawanan tidak boleh diteruskan selagi masalah komunikasi tidak diselesaikan.