Penstrukturan PTPTN tidak jejaskan pinjaman perumahan

Iklan
Zambry menyampaikan bantuan Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad.

LUMUT – Penstrukturan semula bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menjejaskan urusan peminjam untuk mendapatkan pinjaman perumahan atau kemudahan kewangan lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan tegas hanya diambil terhadap peminjam yang langsung tidak pernah tampil memaklumkan kedudukan kewangan atau berusaha menghubungi pihak PTPTN.

Iklan
Iklan

“(Ada dakwaan) itu tidak benar.

“Tindakan hanya diambil terhadap mereka yang langsung tidak pernah membuat sebarang tindakan atau usaha dengan PTPTN,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, di sini pada Ahad.

Program berkenaan memberi manfaat kepada 1,350 penerima di Parlimen Lumut dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Iklan

Zambry berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan prinsip keihsanan dalam pelaksanaan dasar berkaitan pembayaran balik pinjaman PTPTN agar rakyat tidak terbeban secara keterlaluan.

Katanya, langkah tersebut termasuk galakan perbincangan dengan pihak PTPTN bagi menyusun semula bayaran mengikut kemampuan dan situasi semasa peminjam.

“Berkali-kali kita sebutkan bahawa sekiranya mempunyai masalah, mereka boleh datang berbincang supaya bayaran itu disesuaikan dengan kemampuan masing-masing. Pintu PTPTN sentiasa terbuka,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut melaksanakan pemberian biasiswa atau bantuan penuh kepada golongan daripada keluarga miskin dan miskin tegar seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

“Kita juga melaksanakan Program Siswa Sulung, iaitu inisiatif bagi membantu anak pertama daripada keluarga miskin melanjutkan pengajian ke universiti secara percuma.

“Maknanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukan hanya memfokuskan kepada pinjaman semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira latar belakang keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memaklumkan bahawa Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila jumlah simpanan setakat ini mencecah hampir RM22 bilion melibatkan kira-kira tujuh juta akaun.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan tahap kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk menabung bagi pendidikan jangka panjang anak-anak.

“Dari segi jumlah simpanan, kita tidak menetapkan had minimum yang tinggi. Boleh mula menabung dengan serendah RM20. Sekiranya mempunyai lebihan wang, mereka boleh menambah simpanan pada bila-bila masa, sama ada secara bulanan atau harian,” katanya.